KOTA KINABALU: Polis awal hari ini menahan dua bekas banduan yang dipercayai terbabit dalam beberapa kes pecah rumah, kedai dan bengkel di daerah ini dan Penampang.
Suspek, kedua-duanya lelaki usia 25 dan 32 tahun ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Sabah, di kawasan stesen minyak di Jalan Lintas Luyang, jam 3.30 pagi.
Ketua JSJ Sabah, Senior Asisten Komisioner, Azmi Abd Rahim berkata hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua suspek menemui beberapa alat dipercayai digunakan untuk pecah rumah yang disimpan di dalam beg milik suspek.
“(Semasa disoal siasat) kedua-dua suspek turut mengaku terbabit dalam pecah masuk beberapa kedai runcit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, kes lain yang dipercayai dilakukan kedua-dua suspek termasuk kes pecah rumah, kedai dan bengkel di sekitar bandar raya ini dan Penampang.
Azmi berkata, kedua-dua suspek juga dipercayai terbabit dalam penagihan dadah.
“Siasatan masih lagi diteruskan untuk mengesan kemungkinan ada lagi rakan sejenayah suspek dan mengenal pasti pembabitan suspek dalam kes lain,” katanya.
Tambahnya lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan pecah rumah.
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost