Ketua Sindiket Dadah Bergelar ‘Datuk’ Antara 10 Ditahan Di Sabah

Ayob Khan pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. 

Kuala Lumpur: Polis menahan ahli perniagaan bergelar Datuk yang mendalangi sindiket pengedaran dadah terbesar di Sabah dalam siri serbuan, semalam. 

Lelaki berusia 40 tahun itu turut menaungi sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi melindungi kegiatan haramnya sejak 2015.

Malah, sindiket berkenaan juga dikesan melakukan pengubahan wang haram melalui pelbagai perniagaan mewah yang dijalankan ahli sindiketnya termasuk syarikat minyak dan gas serta rangkaian restoran.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, ketua sindiket itu antara 10 individu ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dalam serbuan di Kota Kinabalu, Tawau dan Semporna pada jam 2.30 pagi.

Beliau berkata, suspek lain ditahan adalah dua individu berusia 36 dan 48 tahun masing-masing berperanan sebagai peniaga dan pembantu peribadi yang juga ahli kanan sindiket.

“Suspek keempat ditahan adalah seorang anggota penguat kuasa berusia 44 tahun yang berperanan sebagai ‘transporter’ dan suspek kelima buruh lelaki berusia 34 tahun yang juga keldai dadah kepada sindiket itu.

“Turut ditahan dua individu masing-masing penyelia tapak berusia 32 tahun dan pengarah urusan rangkaian restoran berusia 45 tahun yang menguruskan aspek kewangan sindiket.

“Pasukan juga menahan pengedar dadah kepada sindiket yang berusia 30 dan 31 serta tonto berusia 48 tahun,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah JSJN, Datuk Seri Mohd Kamaruddin Md Din.

Mengulas lanjut, Ayob berkata, siasatan mendapati sindiket berkenaan aktif dalam kegiatan pengedaran dadah jenis syabu sejak 2015 dan mempunyai jaringan pengedaran antarabangsa serta tempatan.

Katanya, suspek disyaki mendapatkan bekalan dadah dari negara jiran di Semenanjung sebelum dibawa dengan menggunakan keldai dadah melalui syarikat penerbangan komersil dan kiriman kargo laut.

Tambahnya, bekalan dadah akan disimpan di Sabah sebelum diagihkan kepada pengedar sindiket dan diseludup ke Indonesia serta Filipina.

“Kita turut mengesan ahli sindiket ini mempunyai pelbagai aset seperti kenderaan mewah, banglo, sebuah feri, rangkaian restoran dan 12 syarikat perniagaan dalam bidang pelancongan, pembinaan, petrokimia, minyak dan gas serta pembuatan,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 130V Kanun Keseksaan (Kesalahan Jenayah Terancang) dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Kata beliau, ia kali pertama sindiket pengedaran dadah ditahan mengikut Sosma dan tindakan itu diambil dalam usaha tegas bagi membanteras sindiket dadah di negara ini.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *