Buaya Di Sabah Dipercayai Masih Dalam Saiz Populasi Sihat – Ahli Zoologi

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU : Populasi buaya di sungai Sabah dipercayai masih dalam saiz populasi yang sihat biarpun terdapat pertambahan haiwan itu sejak ia mula dilindungi daripada pemburuan besar-besaran sekitar 80-an.

Ahli Zoologi Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan, Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Dr Abdul Hamid Ahmad berkata, Sabah yang dilitupi kawasan berair memberikan habitat sesuai untuk buaya hidup selesa tidak kira di laut, sungai, tasik dan kolam.

Beliau berkata, habitat itu serta kawasan terlindung daripada gangguan manusia juga telah memberikan kawasan pembiakan yang sesuai untuk buaya, dan jumlah pembiakan yang lebih banyak daripada kematian dipercayai menyebabkan pertambahan populasi itu.

“Populasi buaya ini boleh diuruskan dengan tujuan memberi pulangan ekonomi khususnya kepada penduduk yang berhampiran habitat haiwan itu seperti yang dijalankan di negara Australia dan Amerika Syarikat selain melindunginya sebagai khazanah semula jadi,” katanya kepada Bernama.

Abdul Hamid berkata, ketika ini langkah pihak berkuasa menembak buaya dilihat tidak menjejaskan populasi haiwan itu kerana ia adalah langkah kawalan untuk melupuskan buaya bersaiz besar yang berada di kawasan berpenduduk kerana semakin besar saiz buaya maka semakin besar mangsa yang akan ditangkap.

Katanya, penduduk yang tinggal di kawasan yang mempunyai buaya biasanya boleh mengetahui kehadiran reptilia besar itu dan mereka tahu bagaimana mengelak daripada diserang namun kelalaian ataupun kekurangan kemudahan serta peralatan keselamatan menjadi punca kepada risiko serangan buaya.

“Tiada panduan khusus mengelak serangan buaya selain berhati-hati dan menggunakan alat atau struktur boleh melindungi diri seperti membina jeti dan berperahu,” katanya berdasarkan kajian kes serangan buaya menunjukkan sering terjadi ketika mangsa berada dalam air atau di pinggir air, juga awal pagi atau senja.

Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah menerusi satu kajian yang dibuat selama dua tahun pada 2017 hingga 2019 berjaya merekodkan 2,886 ekor buaya membabitkan 10 sungai seluruh negeri ini dan kajian itu dilakukan 20 tahun sekali bagi menilai populasi buaya di negeri ini.

Pada masa ini, buaya air masin ialah spesies dilindungi di Sabah dan pada 2016, Malaysia memindahkan status buaya itu daripada Lampiran I kepada II, dengan pemburuan liar dihadkan kepada Sarawak dan kuota sifar untuk spesimen liar bagi negeri lain di Malaysia termasuk Sabah.

Sementara itu, Pengarah Pusat Lapangan Danau Girang (DGFC) Prof Benoit Goossens berkata, kuota harus dikeluarkan oleh pihak berkuasa untuk mengelak kepupusan populasi buaya jika lesen memburu buaya diberikan kepada orang ramai atas faktor keselamatan.

Beliau berkata, melupuskan atau membunuh buaya besar, kebanyakannya jantan di sungai-sungai berikutan konflik manusia-buaya, berpotensi mewujudkan lompang kuasa iaitu buaya jantan lain datang ke situ untuk tujuan penggantian.

“Saya percaya haiwan reptilia itu boleh dilupuskan yang mendatangkan bahaya kepada orang ramai, di bawah kawalan ketat Jabatan Hidupan Liar Sabah untuk mengelakkan peningkatan pemburuan ke atas buaya termasuk buaya muda.

“Walaupun Australia mempunyai populasi buaya terbesar, jumlah serangan sangat terhad berbanding Indonesia dan Malaysia, ini disebabkan kempen kesedaran dan pendidikan awam yang sesuai,” katanya sambil menambah papan tanda perlu dipasang di kawasan reptilia itu menghuni.

Goossens berkata, beliau telah mengunjungi 10 sungai di Sabah antara 2017 dan 2019 untuk menjalankan penyelidikan mengenai buaya yang turut membantunya menghasilkan buku bertajuk, Opogi: A Bornean Crocodile.

Buku setebal 88 muka surat yang diterbitkan pada 2019 itu mengisahkan mengenai seekor buaya jantan berusia setahun bernama Opogi yang tinggal di Sungai Kinabatangan di pedalaman Sabah, yang menurut Goossens, penulisan kisah Opogi adalah untuk memberi pembaca pengetahuan asas mengenai tabiat buaya dan habitatnya.

Bagaimanapun, menurut beliau ketika ini penyelidik belum dapat menentukan jumlah buaya di Sabah dan berdasarkan penyelidikan daripada 2017 hingga 2019, mendapati saiz populasi buaya di 10 sungai adalah 2,886 ekor sama seperti yang dilaporkan oleh JHL Sabah.

“Tinjauan ini juga mendapati Pusat Hidupan Liar Kinabatangan Bawah mempunyai jumlah populasi buaya terbesar di Sabah dengan anggaran sebanyak 1,368 ekor,” katanya.

Beliau berkata, keputusan itu menunjukkan bahawa dalam tempoh 20 tahun ini tidak menunjukkan bukti yang ketara mengenai peningkatan dalam populasi buaya di Sabah dan juga tidak menjadi faktor penentu dalam laporan konflik manusia-buaya.

“Ketiadaan mangsa yang digemari buaya besar, babi berjanggut berikutan wabak Demam Babi Afrika baru-baru ini di Sabah antara punca serangan buaya terhadap manusia meningkat,” kata Goossens.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *