KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook berkata lesen MYAirline Sdn Bhd (MYAirline) akan digantung buat sementara.
“Kami akan menggantung lesen mereka buat masa ini,” katanya selepas menghadiri satu acara di sini.
Syarikat penerbangan perlu mempunyai dua lesen untuk beroperasi sebagai pengendali udara komersial, iaitu lesen perkhidmatan udara (ASL) dan sijil pengendali udara (AOC).
ASL dan AOC dikeluarkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) serta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom).
Loke bagaimanapun tidak menyatakan lesen mana yang akan digantung.
Katanya, MYAirline akan mengadakan sidang media hari ini dan CAAM akan mengeluarkan kenyataan berhubung syarikat itu.
Khamis lalu, MYAirline menggantung operasinya serta-merta akibat “cabaran kewangan signifikan” selepas syarikat penerbangan tambang murah itu “meneroka semua jalan perkongsian berpotensi dan penjanaan modal” untuk menyelamatkan perniagaannya.
Sementara itu, Loke berkata satu usul berhubung MYAirline akan dibahaskan timbalannya Hasbi Habibollah di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau mengingatkan syarikat penerbangan itu mengutamakan kebajikan 900 kakitangannya dan tanggungjawab terhadap pelanggan.
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost