7 Kumpulan Pecah Rumah Tumpas, 64 Individu Ditahan

Jauteh semasa sesi sidang media di IPK Sabah di sini.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

KOTA KINABALU, 20 Okt (Bernama) — Polis percaya berjaya menumpaskan tujuh kumpulan yang aktif dalam kegiatan pecah rumah di beberapa daerah negeri ini melibatkan kerugian berjumlah RM1.2 juta menerusi operasi ‘Black Shadow’ sejak Julai lepas.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata operasi turut menahan 64 individu termasuk tiga wanita terdiri daripada 51 warga tempatan dan 13 warga asing berusia antara 22 hingga 45 tahun bagi membantu siasatan.

Beliau berkata operasi dijalankan selepas pihaknya menerima laporan 84 kes berkaitan kejadian pecah rumah antaranya di bandar raya ini, Penampang, Ranau dan Sandakan selain peningkatan kes pecah rumah di negeri itu.

“Kumpulan ini menyasarkan rumah mewah yang tiada penghuni ketika itu dan peti besi menyimpan wang tunai serta barangan berharga. Kumpulan ini tidak bertindak agresif sebaliknya hanya sasarkan rumah tidak berpenghuni. 

“Hasil soal siasat, mereka mengaku terlibat dengan kegiatan pecah rumah itu dan kita percaya masih ada saki baki kumpulan ini yang kita akan buru,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah di sini hari ini.

Jauteh berkata siasatan lanjut mendapati kumpulan itu hanya aktif di sekitar Sabah dan tidak menolak kemungkinan anggota kumpulan itu mempunyai hubungan atau mengenali antara satu sama lain.

Beliau berkata ada dalam kalangan individu yang ditahan didapati mempunyai rekod jenayah terhadap dadah manakala kes sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Menurut Jauteh sebanyak 1,028 kes pecah rumah dilaporkan di Sabah sejak Januari lepas hingga kini dan berbanding 993 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Beliau sehubungan itu menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati apabila meninggalkan rumah dan memaklumkan kepada jiran atau balai polis berdekatan apabila meninggalkan rumah untuk tempoh lama.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *