Cikgu Stefanus Lucas Finalis Malaysia Teacher Prize 2023 bernilai RM 50,000

KOTA KINABALU : Encik Stefanus Lucas, kini sedang melanjutkan pengajian di peringkat sarjana pendidikan khas di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sehingga Julai 2024 dengan tajaan penuh daripada Kementerian Pendidikan Malaysia, dan sebelum ini merupakan seorang guru muzik di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Tuaran, Putatan, telah berjaya menjadi salah seorang 10 finalis terbaik bagi anugerah guru paling berprestij di Malaysia iaitu Malaysia Teacher Prize yang menawarkan hadiah wang berjumlah RM 50,000.00 kepada seorang pemenang.

Senarai maklumat 10 finalis tersebut telah diumumkan secara rasmi pada 16 September 2023 di laman sesawang penganjur, Pemimpin GSL, yang boleh diakses melalui pautan berikut: http://malaysiateacherprize.org / https://fb.watch/n4ZrtVV-Cq/?mibextid=Nif5oz

Cikgu Stefanus telah berjaya melayakkan diri menjadi finalis berdasarkan pencapaian dan sumbangannya yang luar biasa dalam bidang pendidikan khas. Dia berpegang teguh kepada prinsip ‘Focus on ABILITY, not disability’, kerana dia percaya bahawa semua insan boleh berjaya sekiranya diberikan peluang dan ruang yang sewajarnya, termasuklah golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

Dia telah memulakan projek ‘Suara Kami @ Our Voices’ bermula pada tahun 2019 sehingga kini iaitu sebuah platform untuk membantu meningkatkan tahap keyakinan dan kemahiran persembahan serta komunikasi murid berkeperluan khasnya. Projek ini mengangkat misi dari pentas kelas Cikgu Stef ke pentas Dunia.

Projek ini dilaksanakan dengan membuat jalinan kerjasama dan kolaborasi dengan pelbagai pihak yang berkaitan termasuklah guru-guru daripada Indonesia, wilayah Sarawak dan beberapa universiti tempatan.

Selain itu, melalui projek ini juga dia membantu menyediakan platform kepada anak murid berkeperluan khasnya berpeluang untuk membuat persembahan dan menyertai pertandingan seni muzik di pelbagai peringkat, termasuklah di peringkat antarabangsa.

Dia juga telah berjaya membimbing murid berkeperluan khasnya sehingga berjaya mencipta kejayaan yang luar biasa di peringkat antarabangsa. Antaranya, Ensemble (Permainan Alat Muzik Tradisional Sabah) SKPK Tuaran Hebat telah berjaya mendapat naib Juara Southeast Asia Disability’s Talent Challenge 2020 anjuran State University of Surabaya, Indonesia.

Selain itu, The Trio yang juga kumpulan pemain alat muzik tradisional Sabah telah memenangi First Prize USA World Music International Competition, Silver Diploma bagi VII World Cup of Folklore 2022 dan Asia Folk 2022.

Dia juga aktif dan sering kali dijemput oleh pelbagai pihak untuk berkongsi amalan pengajarannya yang begitu menarik, kreatif dan inovatif, khususnya dalam bidang pendidikan muzik pendidikan khas dan turut berkongsi manfaat muzik untuk murid berkeperluan khas.

Antaranya, dia pernah dijemput oleh Persatuan Sensory Music & Kodaly in Vietnam, International Kodaly Society, SEAMEO Sen, The National Autism Society of Malaysia, Jesselton Philharmonic Orchestra, Music Therapy Centre Indonesia, Persatuan Pendidikan Muzik Malaysia (MAME Baru), Institut Pendidikan Guru dan universiti-universiti tempatan serta banyak lagi. Antara inovasi pendidikan yang dia telah hasilkan adalah inovasi kotak telur dan papan baluk untuk membantu murid buta mempelajari not-not muzik.

Selain itu, dia juga aktif menggunakan cerita rakyat dan elemen seni kebudayaan Sabah sebagai salah satu bahan bantu mengajarnya.

Cikgu Stefanus telah dianugerahkan Guru Cemerlang Pendidikan Khas peringkat kebangsaan pada tahun 2022 dan anugerah yang sama bagi peringkat negeri Sabah pada tahun 2021. Selain itu, dia juga telah dianugerahkan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2020 oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

Antara pengiktirafan tertinggi yang pernah diterima oleh dia ialah SENIA World Changer Award 2020 daripada Special Education Network & Inclusion Association.

Blog Cikgu Stef: https://mrstefanuslucas.wixsite.com/website

Gambar Cikgu Stefanus bersama mantan Pengarah JPN Sabah, Datuk Dr. Mistirine Radin Sempena Persidangan Teknopen Kinabalu Kali ke-8, tahun 2019 bertempat IPG Kampus Tawau, anjuran JPN Sabah. Membentang Inovasi Kotak Telur.

Maklumat lanjut tentang Projek ‘Suara Kami @ Our Voices’ di YouTube :

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *