KUALA LUMPUR : Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menyiasat dakwaan seorang bayi dirampas di sebuah hospital kerajaan di Sabah baru-baru ini.
Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, perkara itu tidak seharusnya berlaku terutama membabitkan hospital kerajaan.
Katanya, KKM akan meneliti perkara itu termasuk bertemu dengan petugas hospital terbabit bagi mendapatkan maklumat lanjut dan membuat penambahbaikan.
“Saya setuju kita buat penelitian dan perlu laporan polis yang sedang dilaksanakan untuk kita lihat bagaimana keputusannya.
“Ketika ini, kita akan buat penambahbaikan dan mungkin perlu bertemu secara bersemuka dengan petugas di hospital berkenaan untuk mendapatkan maklumat lanjut,” katanya di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Beliau menjawab Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) sama ada kerajaan akan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) atau siasatan luaran dibuat bagi menyiasat dakwaan sebuah hospital di Sabah merampas bayi selepas ibunya tidak memiliki dokumen pengenalan diri.
Sebelum ini, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sabah membuat laporan polis susulan dakwaan yang dilaporkan sebuah portal media.
Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Dr Asits Sanna dilaporkan berkata, pihaknya menjalankan siasatan segera berhubung isu itu dengan pihak JKN Sabah mengesahkan dakwaan itu tidak benar. – HMetro
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost