12 Haiwan Ternakan Mati Terkena Renjatan Elektrik Dari Wayar Cuba Dicuri

Sebahagian haiwan ternakan yang mati akibat terkena renjatan elektrik daripada wayar yang cuba dicuri.

KOTA BELUD: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) mengesahkan kira-kira 12 haiwan ternakan mati terkena renjatan elektrik disebabkan aktiviti cubaan mencuri kabel di Kampung Sembirai di sini.

SESB dalam satu kenyataan berkata kejadian dikesan apabila pasukan teknikal SESB  menerima aduan berkenaan kejadian pada jam 8.45 pagi Rabu lalu daripada penduduk kampung.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat pendawaian kabel elektrik yang terjuntai dipercayai akibat aktiviti cubaan mencuri kabel oleh pihak yang tidak bertanggung jawab.

“Terdapat arus mengalir melalui wayar elektrik yang berjuntai ke tanah dipercayai dipotong untuk cubaan mencuri yang menyebabkan kematian kepada 12 ekor haiwan ternakan akibat renjatan elektrik,” katanya.

Beliau berkata SESB kesal kerana masih ada pihak yang tidak memahami tentang bahaya mencuri kabel elektrik SESB.

“Tindakan ini bukan sahaja boleh menyebabkan renjatan elektrik kepada pelaku tetapi membahayakan orang ramai yang berada di sekitar lokasi kecurian,” katanya.

Menurutnya laporan polis berkenaan perkara itu sudah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud untuk tindakan lanjut daripada pihak berkaitan.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *