GRS Tidak Tergugat Hasrat BERSATU Mahu Tawan Semula Sabah

Hajiji Noor berkata Gabungan Rakyat Sabah tidak tergugat dengan hasrat Bersatu untuk merampas negeri itu pada PRN.

KOTA KINABALU : Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak tergugat dengan kenyataan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah yang yakin dapat merampas semula negeri itu pada Pilihan Raya Negeri akan datang.

Pengerusinya Datuk Seri Hajiji Noor berkata gabungan itu semakin kukuh berasaskan jumlah keahlian direkodkan oleh Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) iaitu antara komponen GRS yang kini mencecah 300,000 orang.

“Itu cita-cita besar mereka. Biarkan mereka. Kita tunggu sahaja. Kita tidak tergugat. Jika dilihat daripada keahlian, sambutan Gagasan Rakyat hebat di Sabah.

“… biasalah parti-parti politik ini ada yang cakap lebih-lebih sikit untuk meyakinkan rakyat. Biar rakyat menentukan,” kata Ketua Menteri itu kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi Gagasan Rakyat di ibu pejabat parti itu di sini hari ini.

Pada Isnin, Setiausaha Bersatu Sabah Abdul Kadir Damsal menzahirkan keyakinan bahawa parti itu mampu merampas semula Negeri Di Bawah Bayu dan kerusinya yang hilang akibat tindakan keluar parti beramai-ramai diketuai Hajiji tahun lepas.

Sementara itu, Hajiji ketika mengulas perkembangan Gagasan Rakyat berkata parti itu akan mengadakan mesyuarat bahagian di 73 cawangan seluruh Sabah dari 23 Sept hingga 15 Okt depan dan perhimpunan agung pada 13 dan 14 Nov ini. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *