Jenazah Fairuz Misran Selamat Dikebumikan

Jenazah Allahyarham Fairuz selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Pengkalan Merbau, Kampung Sungai Bangat, Labuan.

LABUAN : Jenazah penyanyi iras Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Fairuz Misran selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Pengkalan Merbau, Kampung Sungai Bangat, Labuan pada malam Jumaat.

Jenazah Fairuz sebelum itu dibawa ke kediamannya di Kampung Pantai untuk dimandikan serta dikafankan sebelum disolatkan oleh ahli keluarga serta orang ramai.

Suasana hiba menyelubungi pekarangan rumah dan tanah perkuburan mengiringi perjalanan akhir Fairuz sebelum urusan pengebumian selesai kira-kira jam 10 malam.

Sinar Harian pada Sabtu melaporkan Fairuz, 38, atau lebih dikenali sebagai P Ramlee Sabah meninggal dunia selepas mengalami sakit dada dan pengsan sebelum dihantar ke Hospital Nukleus Labuan.

Berita duka itu turut dikongsikan oleh abangnya, Ruzaidi melalui Facebooknya sebagai makluman kepada rakan dan ahli keluarga.

Allahyarham yang meninggalkan seorang balu merupakan seorang penyanyi yang mempunyai suara dan wajah seakan seniman agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee.

Allahyarham merupakan juara bintang P Ramlee peringkat kebangsaan anjuran Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) pada 2012 dan sejak itu bakat beliau mula menyinar.

Allahyarham turut dikenali di Sabah dan Semenanjung kerana bakat serta suaranya yang unik. – SINAR

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *