Lelaki Parah Dikapak Berkali-Kali Oleh Bekas Suami Kekasih

Tangkap layar video tular

KOTA KINABALU : Seorang lelaki parah selepas ditetak dengan kapak oleh bekas suami teman wanitanya berhampiran Menara Kinabalu, di sini, kelmarin dipercayai akibat cemburu.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, mangsa berusia 37 tahun luka di muka, tangan dan kaki hingga ibu jari kaki kanan hampir putus.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian mangsa bersama teman wanitanya berusia 30 tahun sedang makan di dalam kereta di kawasan berkenaan.

Katanya, tiga lelaki termasuk suspek yang juga bekas suami wanita berkenaan kemudian menghampiri mangsa sebelum menyerang menggunakan sebilah kapak.

“Mangsa ditetak guna kapak di dalam kereta berkali-kali oleh bekas suami teman wanitanya hingga cedera di muka, tangan dan kaki.

Polis mencari dua lelaki ini bagi membantu siasatan kes berkenaan, orang ramai yang ada maklumat boleh hubungi polis – Foto PDRM

“Mangsa dan teman wanitanya berjaya menyelamatkan diri lalu ke Balai Polis Alam Mesra,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Queen Elizabeth bagi mendapatkan rawatan lanjut. Teman wanitanya tidak cedera.

“Motif serangan berkenaan dipercayai akibat rasa cemburu dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah menggunakan senjata,” katanya.

Berikutan itu, katanya, polis mencari tiga lelaki yang dikenali sebagai Winhal Jalali, 37 dan Abdel Jalali, 27, serta seorang lagi yang belum dikenali bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Mohd Zaidi berkata, polis meminta pihak yang mempunyai maklumat berhubung kejadian atau individu yang dikehendaki untuk tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Muhammad Khaidir Zakaria di talian 014-8019618.

Difahamkan, wanita itu berkahwin adat kampung dengan suspek pada 2015 dan mereka kemudian bercerai sebulan lalu dan wanita mengenali mangsa sejak enam bulan, sebelum menjalinkan hubungan sejak dua minggu lalu.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *