MK K-Clique Sudah Jadi Suami Orang, Selamat Disatukan Dengan Siti Hajaar

MK dan isterinya Siti Hajaar.

SELEPAS beberapa kali menepis dakwaan mengenai perkahwinannya, penyanyi MK daripada kumpulan K-Clique akhirnya sah bergelar suami kepada Siti Hajaar Syeikh Nordin, 26, dengan sekali lafaz pada Jumaat.

MK selamat disatukan dengan Siti Hajaar kira-kira pukul 9.35 pagi di Masjid Jamiul Huda, Ampang, Selangor dihadiri keluarga terdekat.

MK atau Muhammad Hairi Amin Hamdan, 27, dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah Kariah Masjid, Mahdi Mat Zain berwalikan bapa kepada pengantin perempuan iaitu Datuk Seri Dr Syeikh Nordin Sheikh Ahmad.

“Alhamdulillah semuanya berjalan lancar walaupun persiapan dilakukan dalam tempoh singkat. Syukur dah jadi suami.

“Doakan kebahagiaan kami bersama,” katanya kepada mStar.

Siti Hajaar menerima mas kahwin sebanyak RM302 dan seutas gelang tangan manakala wang hantaran dirahsiakan.

MK ketika pernikahan di Masjid Jamiul Huda Ampang, Selangor.

Pengantin lelaki turut menyerahkan enam dulang hantaran dibalas dengan jumlah sama.

Pasangan ini akan diraikan dalam sebuah majlis resepsi di sebuah hotel di Klang, Selangor pada Sabtu.

Desas-desus perkahwinan MK sebelum ini mula diperkatakan apabila dia sendiri memuat naik gambar bersongkok dengan kapsyen seolah-olah memberi gambaran akan menamatkan zaman bujang.

Kemudian tular pula video menyaksikan dia menghadiri sesi kursus perkahwinan.

MK bagaimanapun memilih untuk mengunci mulut apabila ditanya mengenai perancangan hari bahagianya itu.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *