4 Lelaki Nyaris Maut Van Dinaiki Dirempuh Kereta Api Di Kinarut

Keadaan Perodua Rusa yang dilanggar oleh kereta api di Kilometer 21.5 Jalan Perumahan Kampung Anak Kinarut, Papar.

KOTA KINABALU, 15 Jun : Empat lelaki nyaris maut apabila kenderaan dinaiki mereka dirempuh kereta api dalam kejadian di Kilometer  21.5, Jalan Perumahan Kampung Anak Kinarut, Papar, semalam.

Ketua Polis Daerah Papar, DSP Kamaruddin Ambo Sakka berkata dalam kejadian 6.08 petang, pemandu van Perodua Rusa berusia 42 tahun itu bagaimanapun hanya mengalami cedera ringan dengan luka calar di kepala manakala tiga lagi penumpangnya tidak mengalami kecederaan. 

“Siasatan awal mendapati kereta api dari Stesen Keretapi Sembulan menuju ke Beaufort dan sebaik tiba di lokasi kejadian sebuah van Perodua Rusa masuk dan secara  tiba-tiba berhenti di atas laluan kereta api. Pemandu kereta api sempat membunyikan hon amaran ketika menghampiri palang selain cuba menekan brek namun gagal lalu melanggar kenderaan berkenaan.

“Pemandu kereta api hanya menyedari kehadiran van dalam jarak 20 meter di landasan menyebabkan perlanggaran itu tidak dapat dielakkan. Namun terdapat empat lelaki dan semuanya sempat keluar dari kenderaan sebelum perlanggaran berlaku,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kamarudin berkata pemandu Perodua Rusa juga mendakwa tidak menyedari kehadiran kereta api berkenaan kerana palang landasan dalam keadaan terbuka.

“Siasatan di tempat kejadian mendapati terdapat palang bagi menutup laluan jalan raya untuk kenderaan lalu di landasan kereta api berkenaan. Bagaimanapun, ia tidak dapat menutup palang landasan kereta api kerana kedua-dua palang tidak berfungsi,” katanya.

Beliau berkata siasatan masih diteruskan dan kakitangan yang ditugaskan menjaga palang lintasan kereta api ditahan untuk diambil keterangan. 

“Kes disiasat mengikut Seksyen 337 Kanun Keseksaan,” katanya.

Terdahulu hari ini tular video berdurasi 37 saat di media sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp memaparkan sebuah van Perodua Rusa dilanggar kereta api namun pemandu dan penumpang sempat keluar dari kenderaan berkenaan. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *