PHRS Yakin Penyertaan Parti Tempatan Dalam GRS Mampu Majukan Sabah

Tan Sri Liew Yun Fah – Foto Facebook Liew Yun Fah

KOTA KINABALU :  Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) yakin penyertaan parti tempatan dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mampu merealisasikan hasrat ke arah Sabah Maju Jaya.

Presidennya, Tan Sri Liew Yun Fah, berkata PHRS sejak awal lagi mengambil pendekatan mesra dan menyokong kerajaan negeri atas dasar bersama ke arah memajukan Sabah.

“Fokus utama PHRS adalah bergerak di kawasan timur Sabah meliputi Tawau, Kalabakan, Kunak, Semporna, Lahad Datu dan Sandakan. 

“Dalam hal ini, hala tuju PHRS cukup jelas selari dengan GRS kerana PHRS mahu kekal fokus dengan pembangunan negeri, bersifat kendiri dan tidak terikat dengan campur tangan politik luar,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Liew, yang berterima kasih kepada Pengerusi GRS yang juga Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor serta barisan kepimpinan gabungan itu, turut menzahirkan rasa bangga kerana PHRS kini menjadi sebahagian daripada GRS.

Semalam, Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata Majlis Tertinggi GRS sebulat suara meluluskan permohonan PHRS dan Parti Liberal Demokratik (LDP) untuk menyertai gabungan itu.

Selain LDP dan PHRS, parti komponen GRS lain ialah Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO). – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *