Orang Ramai Jadi “Mata Dan Telinga Banteras” Curi Kabel – SESB

Pasukan penguat kuasa SESB menjalankan kerja memotong sambungan elektrik haram di Kampung Numbak, Kota Kinabalu hari ini.

KOTA KINABALU, 7 April : Orang ramai diseru menjadi “mata dan telinga” dengan menyalurkan maklumat bagi membanteras kegiatan mencuri kabel yang memberikan kesan terhadap bekalan elektrik kepada penduduk di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) Mohd Yaakob Jaafar berkata setiap maklumat yang diberikan akan dapat membantu mempercepatkan tindak balas pihak SESB seterusnya meminimumkan kesulitan dihadapi penduduk ekoran kesan akvititi jenayah itu.

Beliau berkata baru-baru ini misalnya, insiden curi kabel itu telah menyebabkan ketidakstabilan bekalan ke beberapa lokasi di sekitar bandar raya Kota Kinabalu dan SESB terpaksa menyalurkan elektrik menerusi bekalan alternatif antaranya menggunakan generator di kawasan terjejas.

“Sikap tidak bertanggungjawab itu juga boleh mengundang maut kepada si pelaku kerana terdedah dengan renjatan elektrik. Apabila kabel SESB di kawasan tertentu dicuri atau dimusnahkan, masyarakat  setempat tidak dapat menikmati bekalan elektrik sekali gus menjejaskan rutin harian mereka.

“Ia juga membawa implikasi lain termasuk menjejaskan aktiviti perniagaan dan ekonomi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata SESB akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memastikan pelaku dan dalang kes kecurian kabel dapat dibawa ke muka pengadilan selain melaksanakan beberapa inisiatif bagi membendung kegiatan itu.

Pengguna yang ingin menyalurkan sebarang maklumat mengenai kegiatan curi kabel ini boleh berhubung dengan SESB Careline di talian 15454, 088- 515000 atau melalui aplikasi WhatsApp 019 8525427 atau menggunakan aplikasi mySESB di telefon pintar. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *