Laporan Double Six Tak Lengkap Tanpa Pendedahan Australia, Kata Yong

Bekas ketua menteri Sabah, Yong Teck Lee berkata, hanya pelepasan laporan penuh tragedi Double Six oleh Malaysia dan Australia boleh menutup babak sejarah Sabah yang amat menyakitkan itu.

KOTA KINABALU : Hasil laporan tragedi pesawat “Double Six” yang dinyahklasifikasi kerajaan tidak lengkap sekiranya Australia juga tidak mendedahkan hasil siasatan nahas itu, kata bekas ketua menteri Sabah, Yong Teck Lee.

Yong berkata, kerajaan Australia sebelum ini pernah menyatakan penahanan laporan itu disebabkan Malaysia belum mendedahkan laporan akhir berhubung kes itu, lapor Berita Harian.

Beliau yang juga presiden Parti Maju Sabah (SAPP) berkata, Australia sebelum ini enggan mendedahkan laporan nahas itu dengan alasan ia boleh menjejaskan hubungan antarabangsa Komanwel dengan negara berkenaan.

“Arkib Negara Australia menamakan laporan itu sebagai Accident Malaysia Nomad Aircraft 9M-ATZ on 6 June 1976.

“Dalam dua balasan kepada wakil saya bertarikh 14 Mac 2012, Arkib Negara Australia menyatakan bahawa rekod mereka mengandungi butiran teknikal yang boleh memberi kesan kepada hubungan semasa Komanwel (Australia) dengan kerajaan negara asing.

“Dalam kes ini, negara asing itu bermakna Malaysia dan bukan yang lain,” katanya yang menambah kedua-dua laporan Malaysia dan Australia mesti diterbitkan sepenuhnya.

“Ini kerana Arkib Negara Australia juga mendedahkan bahawa bahagian tertentu teks telah dihapuskan atau dipadamkan.

“Hanya pelepasan laporan penuh di Malaysia dan Australia boleh menutup babak sejarah Sabah yang amat menyakitkan ini,” katanya.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan kerajaan bersetuju menyahklasifikasikan siasatan nahas pesawat 1976 yang meragut nyawa ketua menteri Sabah ketika itu, Fuad Stephens, dan 10 yang lain.

Dalam kejadian pada 6 Jun 1976, Fuad yang baru 53 hari mengangkat sumpah sebagai ketua menteri meninggal dunia bersama 10 yang lain termasuk menteri negeri apabila pesawat GAF Nomad yang dinaiki terhempas.

Mereka yang maut termasuk menteri negeri, Salleh Sulong, Chong Thien Vun, dan Peter Mojuntin.

Susulan kejadian itu, pengeluar GAF Nomad Australia dan Jabatan Pengangkutan Australia melancarkan siasatan untuk membuktikan bahawa nahas itu bukan disebabkan oleh masalah mekanikal.

Siasatan selesai kira-kira empat bulan kemudian, tetapi laporan penuh tidak didedahkan kepada umum. Sebaliknya, ia diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *