ADUN UMNO Sabah Lompat Parti Macam ‘Monyet’, Kata Bung

Pengerusi Umno Sabah Bung Moktar Radin menggesa undang-undang antilompat parti dilaksanakan di Sabah untuk menghalang Adun berpaling tadah.

KUALA LUMPUR: Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) menyelar lima Adun Umno Sabah yang keluar parti dan menyertai Gagasan Rakyat Sabah (GRS) serta menyamakan tindakan mereka itu seperti monyet.

Ketika membahaskan titah diraja di Dewan Rakyat, Bung berkata punca Adun berpaling tadah itu kerana undang-undang antilompat parti belum dilaksanakan di Sabah.

“Ada Adun di Sabah ini suka lompat sana lompat sini macam monyet sehingga terlupa (bahawa) sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga.

“Asal jadi pengkhianat, dapat jawatan, jadi pengkhianat lompat, jadi menteri walaupun tidak layak (kerana) tidak ada pendidikan.

“Sebab kerajaan negeri tidak memikirkan hala tuju dan masa depan rakyat Sabah. Mereka memikirkan bagaimana mahu mempertahankan kuasa, memperlihatkan kepada orang ramai bahawa GRS kuat,” kata Bung yang juga Pengerusi Umno Sabah.

Lima Adun yang keluar parti itu adalah Yusof Yacob (Sindumin), Jasni Daya (Pantai Dalit), Arsad Bistari (Tempasuk), Hamid Awang (Balung) dan James Ratib (Sugut).

Pada Jan lalu, lima Adun itu juga enggan menjadi sebahagian kumpulan untuk menumbangkan Hajiji Noor sebagai ketua menteri yang diketuai Bung dan Presiden Warisan Shafie Apdal.

Bung juga melabelkan James dan Yusof sebagai “pelompat bersiri yang melompat ke semua parti politik di negara ini”

“Saya berani jamin apabila GRS kehilangan kuasa nanti, dua orang ini akan melompat dan meninggalkan ketua menteri,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *