Tunggang Motosikal Lawan Arus Lari Dari SJR, Lelaki Maut Terbabit Nahas

Setelah melanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda, seorang penunggang bersama motosikalnya tercampak ke dalam parit. Mangsa maut di tempat kejadian.

PAPAR : Seorang lelaki maut dalam kemalangan setelah menunggang motosikal melawan arus dan terlanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda di Papar semalam.

Dalam kejadian pada 2.40 petang di KM32 Jalan Lama Papar-Kota Kinabalu, laluan Pan Borneo itu, mangsa yang berusia dalam lingkungan 20-an maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Papar Kamaruddin Ambo berkata, siasatan awal mendapati, ketika kejadian, sebuah kenderaan Toyota Hilux yang datang dari Kampung Sulim, Kinarut menuju ke Kampung Langkuas, Kinarut, berada di lorong kanan.

Pemandu kenderaan pacuan empat roda itu kemudian mendapati sebuah motosikal Yamaha Y15 ditunggang seorang lelaki secara melulu dalam keadaan melawan arus berada di hadapan laluannya.

Tambah Kamaruddin, pemandu cuba menekan brek dan mengelak ke lorong kiri, namun motosikal tersebut melanggar bahagian hadapan kenderaannya.

“Akibat pelanggaran itu, lelaki bersama motosikal tercampak ke dalam parit yang berada di tengah-tengah pembahagi jalan,” katanya.

Kamaruddin berkata, mangsa yang maut dipercayai menunggang motosikal seorang diri ke Kota Kinabalu dalam cubaan untuk melarikan diri daripada diperiksa dalam sekatan jalan raya (SJR)

“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Papar untuk bedah siasat, (dan) kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *