Cari Jalan Lain Bukan Pengeluaran KWSP – PM

Anwar berucap pada majlis Syarahan Ulung Kursi Siddiq Fadzil: Reformasi Pendidikan Untuk Kesejahteraan Masa Depan Malaysia.

KUALA LUMPUR : Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan sedang mencari jalan lain selain simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi membantu kumpulan yang mengalami masalah kos sara hidup tinggi.

Perdana Menteri berkata, kerajaan sedang mencari alternatif lain yang tidak akan membebankan pekerja apabila mereka bersara nanti.

“Kita kena timbang. Kita sedang cari jalan kurangkan beban mereka tanpa menimbulkan beban lain pada masa mereka bersara nanti,” katanya kepada media selepas menyampaikan Syarahan Ulung Siddiq Fadzil – Pemikiran Reformasi Pendidikan Untuk Kesejahteraan Masa Depan Malaysia di Universiti Selangor (UNISEL), di sini, hari ini.

Perdana Menteri ditanya sama ada pengeluaran KWSP dalam pertimbangan kerajaan bagi Belanjawan 2023.

Pelbagai pihak menggesa kerajaan mengutamakan dan membantu rakyat yang berada dalam kesusahan termasuklah membenarkan pengeluaran KWSP dalam Belanjawan 2023.

Perdana Menteri menjelaskan beliau memahami isu mengenai kebenaran pengeluaran KWSP itu seperti yang dibangkitkan banyak pihak.

Katanya, sudah banyak kali kebenaran dibenarkan dan ada simpanan yang semakin berkurangan.

“Saya kalau ikut, (itu) wang dia. Dia nak keluar biar dialah.

“Tapi kalau wang dia tinggal RM5,000 (dalam KWSP), keluar RM3,000, pencen nanti dia anak beranak macam mana?” katanya

Sementara itu, ditanya mengenai tumpuan Belanjawan 2023, Perdana Menteri berkata, seperti yang sudah saya umumkan sebelum ini tumpuan sudah tentu terarah kepada isu menangani defisit, digital dan sekuriti makanan.

Katanya, dalam masa yang sama isu keselesaan dan masalah kos sara hidup rakyat jadi tumpuan utama.

“Perkara yang lain, akan saya bentangkan dalam belanjawan itu nanti,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *