Dakwaan Tubuh Parti Baharu Berniat Jahat, Kata ADUN UMNO Sabah

(Dari kiri) Shahelmey Yahya, Jasnih Daya, James Ratib, Yusuf Yacob dan Arsad Bistari menafikan mereka akan menubuhkan parti baharu, jika ditunjukkan ‘jalan keluar’ oleh Umno Sabah.

KOTA KINABALU : ADUN Tanjung Keramat, Shahelmey Yahya menyangkal dakwaan beliau dan empat wakil rakyat Umno lain akan menubuhkan parti baharu untuk menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Ketua Menteri, Hajiji Noor.

Terdahulu, Shahelmey bersama Yusuf Yacob (Sindumin), Jasnih Daya (Pantai Dalit), Arsad Bistari (Tempasuk) dan James Ratib (Sugut) dilaporkan akan menubuhkan parti baharu untuk menyokong GRS dan Hajiji, jika ditunjukkan “pintu keluar” oleh Umno Sabah.

Shahelmey berkata, dakwaan dalam laporan itu ditokok tambah dan disiarkan tanpa pengetahuan mereka berlima yang menyokong Hajiji.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya laporan ini dan tidak pernah mengeluarkan apa-apa kenyataan merujuk kepada penubuhan parti baharu atau berkaitan dengannya.

“Kenyataan ini disiarkan tanpa pengetahuan kami dan ia juga dilihat berniat jahat,” katanya dalam kenyataan.

Beliau mengulangi pendirian mereka berlima tidak menyokong langkah usaha menjatuhkan kerajaan pimpinan Hajiji dan sedia menghadapi apa jua tindakan daripada parti.

Jumaat lalu, Bung mengumumkan Umno dan BN Sabah menarik balik sokongan mereka kepada Hajiji sebagai ketua menteri, selepas mendakwa pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu melanggar perjanjian antara mereka selepas pilihan raya negeri pada 2020.

Semalam, Hajiji mengumumkan beliau memiliki sokongan 44 daripada 79 ADUN Sabah untuk terus menerajui Sabah, menerusi akuan bersumpah yang diserahkan kepada Yang di-Pertua Negeri, Juhar Mahiruddin kelmarin. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *