‘Perlembagaan Ada, Apa Perlu Ke Mahkamah?’

Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal

KOTA KINABALU: Status keabsahan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, tidak perlu dibawa ke mahkamah untuk ditentukan.

Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata semua fakta jelas dinyatakan dan termaktub dalam undang-undang Perlembagaan Negeri Sabah.

Susulan itu, tegasnya, tiada keperluan untuk membawa perkara terbabit ke mahkamah atau membentangkan usul undi percaya berhubung keabsahan Hajiji sebagai Ketua Menteri dalam sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN), esok

“Ketika saya menjadi Ketua Menteri, kita bawa usul undi percaya ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, saya peroleh dua pertiga (undi percaya) sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

“Kemudian, datang pihak lain, ‘beli’ orang (ADUN) saya, jadi saya terpaksa bubar DUN,” katanya selepas menerima kunjungan Duta Jepun di Malaysia, Takahashi Katsuhiko di kediamannya hari ini.

Semalam, Hajiji dilaporkan berkata, mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan status kedudukannya sebagai Ketua Menteri boleh membawa perkara terbabit ke mahkamah.

Mengenai dakwaan Hajiji memiliki sokongan 44 ADUN bagi mengekalkannya sebagai Ketua Menteri, Mohd Shafie berkata, majoriti atau bilangan akuan bersumpah (SD) tidak penting.

“Dia (Hajij) ada nombor, kita juga ada nombor. Tidak perlu bercakap mengenai nombor atau SD kerana apa yang penting ialah pematuhan terhadap undang-undang.

“Saya bukan mahu jadi Ketua Menteri, gilakan jawatan. Dari dulu saya sudah ditawarkan menjadi Timbalan Perdana Menteri (TPM) ketika pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, tetapi bukan itu yang menjadi tuntutan.

“Kita mahu membentuk Kerajaan Perpaduan dan penting untuk kita menterjemahnya.

“Justeru, saya melihat penting bagi kita melihat dari sudut undang-undang Anti Larangan Bertukar Parti yang sudah dilaksanakan di peringkat Persekutuan.

“Di Sabah, undang-undang itu belum dibentang dan dilaksanakan, maka kalau kita menerima perlakuan (lompat parti) dan menghalalkannya, apakah ia selaras dengan peruntukan di peringkat Persekutuan,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *