Hanya Bincang Masa Depan Parti, Kata Bung Selepas Jumpa Pemimpin UMNO Sabah

Bung Moktar Radin bersama pemimpin Umno negeri lain ketika meninggalkan Bangunan Umno Sabah.

KOTA KINABALU: Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin berkata, perjumpaan dengan pemimpin parti berkenaan di ibu pejabat Umno negeri, di sini, hari ini, hanya sekadar membincangkan masa depan parti.

Timbalan ketua menteri Sabah itu berkata, tiada apa-apa yang berlaku, sebaliknya ia hanya mesyuarat atau pertemuan biasa bersama pemimpin Umno negeri.

“Tiada apa-apa hanya ‘meeting-meeting’ (perjumpaan) saja. Kami bincang mengenai masa depan parti,” katanya ketika meninggalkan Bangunan Umno Sabah bersama pemimpin Umno negeri lain.

Pertemuan itu mengundang spekulasi mengenai kononnya bakal berlaku pertukaran kerajaan negeri menerusi kerjasama Barisan Nasional (BN) dengan Warisan yang turut difahamkan mengadakan perjumpaan di lokasi berasingan, petang ini.

Presiden Warisan, Shafie Apdal turut dijadualkan mengadakan sidang media pada jam 4.30 petang tadi dipercayai berkaitan perkara yang sama. Bagaimanapun sidang media itu ditangguhkan.

Terdahulu, timbul desas-desus di media sosial yang mengatakan kerajaan Sabah pimpinan Hajiji bakal tumbang.

Bagaimanapun, beberapa pemimpin GRS tampil menafikan perkara itu dan menyifatkan khabar angin berkenaan hanya bertujuan menjadikan keadaan politik di Sabah tidak stabil. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *