Keahlian GRS: Armizan Nafi Permainkan Muhyiddin, Bersatu

Armizan Mohd Ali berkata beliau telah memohon keahlian dalam GRS sebelum PRU15 dan ia diluluskan Setiausaha Agung GRS Masidi Manjun pada Oktober lepas.

KOTA KINABALU : Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas) Armizan Mohd Ali menafikan beliau mempermainkan Bersatu dan presiden parti itu, Muhyiddin Yassin dalam isu membabitkan keahliannya dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Beliau berkata tindakan beliau menjadi ahli GRS adalah disebabkan sentimen dan aspirasi rakyat Sabah yang mahukan parti tempatan untuk memimpin negeri berkenaan.

“Pada masa sekarang sentimen rakyat di Sabah menginginkan supaya kita bergerak berteraskan kepada parti tempatan, itu agenda kita inginkan, sebab kita lihat landskap politik Malaysia pada hari ini, kita dapat memperjuangkan agenda Sabah dengan lebih efektif melalui gagasan tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan perjumpaan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Rakan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan melawat Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) di sini hari ini.

Sabtu lepas, Hajiji Noor yang juga pengerusi GRS berkata pemimpin Bersatu Sabah sebulat suara memutuskan untuk meninggalkan parti itu namun kekal di bawah gabungan GRS.

Armizan yang terlibat dalam mendraf perlembagaan GRS sebelum ini berkata perlembagaan gabungan itu mempunyai peruntukan berkaitan keahlian terus kepada individu dan kesatuan antara parti.

Sehubungan itu beliau mengulangi kenyataan bahawa dirinya adalah ahli langsung GRS dan bertanding serta menang atas tiket gabungan itu pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) yang lepas.

Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar berkata beliau telah memohon keahlian dalam GRS lebih awal, iaitu sebelum PRU15 dan ia diluluskan Setiausaha Agung GRS Masidi Manjun pada Oktober lepas.

Ditanya mengapa beliau menyertai GRS sedangkan pada ketika itu beliau adalah ahli Bersatu, Armizan mendakwa Perlembagaan Persekutuan atau Akta Pertubuhan 1966 tidak pernah menghalang untuk seseorang menjadi ahli kepada beberapa parti politik.

“Kita kena faham hubungan unik kerjasama GRS dan Bersatu, di Sabah penubuhan GRS sendiri mendapat restu daripada Bersatu, keanggotaan Bersatu Sabah dalam GRS sebagai gabungan juga mendapat restu daripada Bersatu pada ketika itu.

Sebagai orang yang terlibat dalam penubuhan GRS sudah tentu saya ingin menjadi orang pertama menyertai sebagai ahli jadi saya fikir itulah jawapannya,” katanya.

Sehingga kini, Armizan berkata beliau masih belum mendapat sebarang surat atau notis daripada Bersatu berhubung status keahliannya dalam parti itu. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *