Lima Gabungan Bentuk Kerajaan Perpaduan Meterai Perjanjian, Jamin Politik Negara Stabil

PUTRAJAYA, 16 Dis : Lima gabungan politik utama –  Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan Sabah (Warisan) –  yang membentuk Kerajaan Perpaduan hari ini menandatangani perjanjian persefahaman kerjasama di sini bagi menjamin kestabilan politik serta memacu ekonomi negara.

Perjanjian itu dimeterai Setiausaha Agung PH Datuk Seri Saifuddin Nasution, Setiausaha Agung BN Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, Setiausaha Agung GRS Datuk Masidi Manjun, Setiausaha Agung GPS Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Setiausaha Agung Warisan Datuk Loretto Padua Jr dengan disaksikan oleh semua pengerusi gabungan terbabit.

Mereka ialah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi PH, Pengerusi BN Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi GPS Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor dan Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, yang turut menandatangani perjanjian itu.

Anwar dalam sidang media selepas Majlis Menandatangani Permuafakatan Antara Gabungan Di Bawah Kerajaan Perpaduan turut menyifatkan perjanjian itu sebagai amat bermakna dalam sejarah politik tanah air.

“Kita capai persefahaman atau muafakat dengan hala tuju jelas membangun negara, menjamin supaya sistem stabil dan tumpu perhatian untuk mengangkat martabat negara kita sebagai negara yang maju,” katanya.

Anwar berkata perjanjian yang disepakati itu tidak memperlihatkan soal kedudukan dan habuan sebaliknya menjurus kepada soal prinsip serta dasar berkaitan tata kelola yang baik.

“Ini tidak boleh dicapai tanpa kerjasama rakan pimpinan parti dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Saya ingin jelaskan yang disepakati bukan soal kedudukan atau habuan,” katanya.

Beliau percaya perjanjian persefahaman itu akan membolehkan Kerajaan Perpaduan menjadi satu pasukan yang mantap dalam mendepani apa jua permasalahan termasuk di Parlimen.

“Saya telah diberikan kepercayaan serta terharu dengan bentuk sokongan dan juga komitmen bersama sebagai satu pasukan mantap (di bawah) Kerajaan Perpaduan.

“Ini akan membolehkan kita menghadapi apa jua permasalahan di Parlimen dan di luar dengan satu suara iaitu Kerajaan Perpaduan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata Kerajaan Perpaduan adalah kerajaan yang mewakili semua kepentingan politik dalam negara dan memperakui isu yang termeterai dalam Perlembagaan Negara serta Perjanjian Malaysia 1963.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata hal membabitkan kewangan di Sabah serta Sarawak sedang dirangka oleh Kementerian Kewangan dan akan diserah kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof untuk dipengerusikannya.

“Mana yang boleh dilaksanakan, saya beri tempoh satu bulan. Hal menyangkut kewangan umpamanya juga jadi isu besar di Sabah dan Sarawak, soal kuasa untuk luluskan projek dan juga pengiktirafan kepada tenaga jentera di Sabah dan Sarawak.

“Itu dah disiapkan Kementerian Kewangan dan akan menyerahkannya kepada Fadillah untuk mempengerusikan. (Ia) akan diangkat semula untuk kepada saya untuk dibentang dalam mesyuarat Jemaah Menteri minggu depan,” katanya.

Perdana Menteri juga berkata hal terkait dengan pindaan peraturan atau undang-undang akan mengambil lebih masa untuk dilaksanakan kerana ia melibatkan sidang Parlimen.

“Yang lain, kita tekankan soal tata kelola kerana isu ini besar dalam negara kita untuk kita kembali ke dasar membersihkan jentera kerajaan dan elak apa-apa keterlanjuran yang pernah berlaku dulu.

“Pusat perhatian kita ialah penjanaan pertumbuhan ekonomi yang harus jadi perhatian kita bukan sahaja di Semenanjung tapi bersama Sabah dan Sarawak,” katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *