Rombakan Kabinet Sabah Wajar Penuhi Tuntutan Jajaran Politik Semasa – Penganalisis

KOTA KINABALU, 16 Dis : Rombakan Kabinet Sabah sewajarnya dibuat supaya komposisi pentadbiran kerajaan negeri sejajar dengan sokongan semua parti politik di Sabah yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri ke-16, dua tahun lepas terhadap Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Penganalisis politik Dr Syahruddin Awang Ahmad berkata rombakan Kabinet itu juga penting bagi menyelaras semula struktur kepimpinan negeri dengan turut mengambil kira penyertaan Ahli DUN Sabah daripada Pakatan Harapan (PH), gabungan parti yang diterajui Anwar di peringkat pusat, agar ia dilihat memiliki kredibiliti serta hala tuju jelas untuk kebaikan Sabah.

“Bagaimanapun, kemasukan parti komponen PH (ke dalam Kabinet negeri) adalah bergantung kepada rundingan antara perdana menteri dan ketua menteri Sabah.

“Seharusnya ada situasi menang-menang serta persefahaman dalam penjajaran semula agar komunikasi dan interaksi antara kerajaan Persekutuan dan negeri dapat dioptimumkan,” kata Penyelidik Geopolitik dan Elektoral Sabah (GeOpeS) Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu kepada Bernama.

Syahruddin bagaimanapun berkata sekiranya tiada sebarang rombakan Kabinet negeri dilakukan, Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Hajiji Noor perlu dikekalkan sebagai ketua menteri walaupun beliau sudah keluar Bersatu, manakala GRS kekal dengan status quonya sebagai kerajaan negeri bagi memastikan pentadbiran berada di landasan sedia ada sehingga tamat penggal.

Pada 10 Dis lepas, Hajiji mengumumkan semua pimpinan Bersatu di Sabah sebulat suara keluar dan meninggalkan parti itu tetapi tetap bersama di bawah GRS.

GRS sebelum ini terdiri daripada Bersatu, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) yang bergabung dengan Barisan Nasional (BN) untuk mentadbir kerajaan Sabah.

Sementara itu, mengulas mengenai langkah kepimpinan Bersatu di Sabah meninggalkan parti itu, seorang lagi penganalisis politik Dr Romzi Ationg, mencadangkan Ahli DUN dari parti itu menyertai mana-mana parti tempatan atau menubuhkan parti baharu sebelum akta anti lompat parti dilaksanakan di Sabah.

“Bagi Ahli Parlimen (Bersatu Sabah) pula, mereka wajar kekal sebagai ahli GRS dan tidak menyertai parti lain,” kata pensyarah kanan UMS itu.

Romzi juga berpendapat adalah wajar rombakan Kabinet Sabah dilakukan bagi memenuhi tuntutan jajaran politik semasa di peringkat Persekutuan susulan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 yang memperlihatkan situasi Parlimen tergantung.

Mengenai situasi semasa politik di Sabah, Romzi berkata gelanggang politik di negeri itu sememangnya sentiasa tidak bebas daripada pergolakan akibat norma dan natijah sikap para pemimpin yang tidak bersatu, malah saling menyalahkan atau menjatuhkan pihak lain melalui pelbagai kaedah.

Bagi Pensyarah Kanan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah Tony Paridi Bagang, sokongan GRS kepada Kerajaan Perpaduan memang jelas manakala langkah pemimpin parti itu tinggalkan Bersatu menunjukkan usaha GRS membentuk gabungan politik tempatan tulen sama seperti Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Langkah itu juga sebagai satu isyarat kuat kerajaan Sabah yang mahu memastikan ia tidak lagi ditentukan oleh parti politik luar dalam menjalankan urusan negeri, katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *