Perlembagaan GRS Benar Keahlian Langsung

cPerkara 6 perlembagaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyatakan ada dua jenis keahlian – langsung dan membabitkan pertubuhan.

KOTA KINABALU: Perlembagaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) membenarkan keahlian secara langsung sebagaimana terkandung dalam laman web gabungan itu.

Ia susulan dakwaan empat Ahli Parlimen Sabah yang menang pada PRU bulan lalu merupakan ahli langsung GRS, sekali gus tidak melanggar undang-undang anti-lompat kerana meninggalkan Bersatu Sabah.

Timbul keraguan berhubung status empat wakil rakyat itu selepas pemimpin Bersatu Sabah, pada minggu lalu, mengumumkan keluar parti secara besar-besaran.

Ahli politik seteru ada membangkitkan tindakan keluar parti bermakna mereka perlu mengosongkan kerusi masing-masing seperti diperuntukkan dalam undang-undang anti-lompat.

Empat wakil rakyat itu adalah Ahli Parlimen Armizan Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Matbali Musah (Sipitang) dan Jonathan Yasin (Ranau).

Armizan berkata, beliau menyertai GRS sebagai ahli langsung sebelum penamaan calon, pada PRU15, dan menang kerusi Papar atas tiket GRS.

Bernama melaporkan, Armizan yang juga menteri hal ehwal Sabah dan Sarawak, merupakan individu yang merangka perlembagaan GRS.

FMT yang memperoleh salinan perlembagaan itu, yang mana dalam Perkara 2 menyatakan GRS adalah pertubuhan membabitkan keanggotaan individu dan gabungan parti politik dan NGO.

Perkara 6 pula menyatakan parti menerima dua jenis keahlian – langsung dan membabitkan pertubuhan.

Bagaimanapun, Armizan tidak menjelaskan sama ada tiga lagi Ahli Parlimen menjadi ahli GRS sebelum PRU.

Dalam pada itu, sumber memberitahu FMT, berkata kesemua enam calon GRS pada PRU15 dari Bersatu Sabah sudah menyertai gabungan itu sebelum hari penamaan calon.

Dua lagi membabitkan Nixon Abdul Habi dan Rudy Awah, di mana masing-masing gagal menang di kerusi Semporna dan Kudat. Pada Selasa, Nixon memberitahu Malaysiakini bahawa beliau merupakan ahli GRS “lebih awal sebelum PRU”.

Terdahulu, dilaporkan tindakan keluar Bersatu perlu secara rasmi diterima oleh Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin sebelum tindakan mereka itu disahkan rasmi.

Perkara 10.1 perlembagaan Bersatu menyatakan ahli yang berhasrat keluar parti perlu memberi pemakluman bertulis kepada setiausaha agung.

Bagaimanapun, Perkara 10.2.2 menyatakan keahlian individu secara automatik terbatal sekiranya ahli itu mengumumkan keluar parti dengan Perkara 10.2.3 menyatakan keahlian juga secara automatik terbatal jika ahli menyertai parti lain. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *