Saya Tak Terima Notis Dipecat Bersatu, Kata Armizan

Armizan Ali berkata, tidak timbul isu lompat parti kerana beliau ahli GRS yang sah dan bertanding atas tiket gabungan itu, selain tidak pernah mengumumkan keluar Bersatu.

KOTA KINABALU : Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Armizan Ali berkata, beliau belum menerima notis pemecatan daripada Bersatu.

Ahli Parlimen Papar itu berkata, beliau menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dari peringkat awal lagi, sebelum pilihan raya umum ke-15 (PRU15) diadakan dan terbabit dalam pasukan menggubal perlembagaan parti itu.

Justeru, katanya, tidak timbul isu lompat parti kerana beliau ahli GRS yang sah dan bertanding atas tiket gabungan itu, selain tidak pernah mengumumkan keluar Bersatu.

“…melainkan Bersatu mengambil tindakan untuk memecat keahlian saya,” katanya dipetik Sinar Harian.

Armizan berkata, selepas dilantik sebagai menteri dalam kerajaan perpaduan, beliau terdengar berita ada pimpinan Bersatu dalam forum tertentu meminta beliau dipecat.

“Tapi buat masa ini, saya tidak terima sebarang notis pemecatan Bersatu, daripada peguam Bersatu pun tiada, bagi saya ia status quo.”

Sabtu lalu, Pengerusi GRS, Hajiji Noor mengumumkan beliau bersama pemimpin Bersatu Sabah lain keluar parti dan akan membentuk parti tempatan baharu.

Katanya, keputusan “sebulat suara” itu dibuat atas dasar status quo yang “tidak boleh dipertahankan lagi” dan demi kepentingan Sabah, perpaduan serta memenuhi hasrat dan aspirasi rakyat.

Pada PRU15, calon Bersatu Sabah bertanding atas tiket GRS dan menang enam kerusi Parlimen.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *