Pemandu Rentung Selepas Nahas Di Tuaran

Anggota bomba memadam kenderaan yang terbakar sepenuhnya, selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Kampung Tambalugu, Tuaran petang tadi.

TUARAN: Seorang lelaki rentung selepas Perodua Bezza dipandunya terbabit kemalangan di Jalan Kampung Tambalugu di sini, petang tadi.

Dalam kejadian 4.30 petang itu, Mohd Fairuz Jasni, 38, ditemui rentung selepas keretanya dipercayai bertembung dengan Perodua Myvi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.48 petang.

“Kemalangan membabitkan Perodua Myvi yang dipercayai bertembung dengan Perodua Bezza hingga menyebabkan Perodua Bezza terbakar sepenuhnya.

“Seorang mangsa dilaporkan rentung dalam Perodua Bezza,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, mangsa dikeluarkan pada 7.21 malam tadi, selepas kebakaran dipadamkan.

“Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan dua mangsa dalam Perodua Myvi tidak mengalami kecederaan. Operasi ditamatkan sepenuhnya pada 7.25 malam.”

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *