Kedudukan 4 Ahli Parlimen Sabah, Tunggu Laporan Peguam Negara, Kata Azalina

Azalina Othman Said berkata dalam Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, keputusan muktamad adalah terpulang kepada Speaker (Dewan Rakyat) dalam masa 21 hari, selepas notis diberikan kepada beliau.

KUALA LUMPUR: Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi Azalina Othman Said berkata beliau menunggu laporan rasmi dan pandangan perundangan dari Pejabat Peguam Negara berhubung kedudukan empat Ahli Parlimen dari Bersatu yang bertanding atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Beliau berkata dalam Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, keputusan muktamad adalah terpulang kepada Speaker (Dewan Rakyat) dalam masa 21 hari, selepas notis diberikan kepada beliau.

“Tetapi dalam pindaan Perlembagaan Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663), diletakkan beberapa syarat untuk membuat kepastian.

“Jadi di luar bidang kuasa saya untuk memberikan komen. Tapi saya tunggu laporan dan ‘legal opinion’ peguam negara,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai isu empat Ahli Parlimen Sabah itu, selepas menutup Forum Hari Hak Asasi Manusia 2022, di sini hari ini.

Kelmarin, Pengerusi GRS Hajiji Noor mengumumkan pemimpin Bersatu Sabah membuat keputusan sebulat suara untuk keluar daripada parti itu, namun kekal di bawah GRS.

Empat Ahli Parlimen berkenaan ialah Matbali Musah (Sipitang), Armizan Mohd Ali, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Papar), Jonathan Yasin (Ranau) dan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi). – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *