4 Ahli Parlimen Sabah Yakin Tidak Terkesan Dengan Akta Anti Lompat Parti

Masidi ManjunSetiausaha Agung GRS, Masidi Manjun berkata, empat Ahli Parlimen itu akan memaklumkan kepada Speaker Dewan Rakyat mengenai kedudukan mereka dan membuat kenyataan sekiranya perlu.

KOTA KINABALU : Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yakin empat Ahli Parlimen gabungan itu tidak akan terkesan dengan akta anti lompat parti selepas bertindak keluar daripada Bersatu, baru-baru ini, kata Setiausaha Agung GRS, Masidi Manjun.

Katanya, GRS serta empat Ahli Parlimen itu sedar dan telah meneliti akta berkenaan yang mula berkuatkuasa pada 5 Okt lalu sebelum mereka bertanding pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) lalu.

“Mereka (ahli parlimen GRS) akan memaklumkan kepada Speaker Parlimen berhubung kedudukan mereka dan membuat kenyataan sekiranya perlu.

“Kami yakin yang mereka tidak akan terkesan dengan undang-undang anti lompat parti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Empat Ahli Parlimen berkenaan adalah Armizan Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Jonathan Yasin (Ranau) dan Matbali Musah (Sipitang) yang semuanya bertanding atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Mereka bersama ketua Bersatu Sabah yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Hajiji Noor bersama pemimpin tinggi lain mengumumkan meninggalkan parti itu, tetapi kekal sebagai ahli GRS yang diketuai Hajiji.

Terdahulu, bekas menteri undang-undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, empat Ahli Parlimen Sabah yang meninggalkan Bersatu tidak mempunyai pilihan selain mengosongkan kerusi sebaik sahaja keluar daripada parti itu secara rasmi.

Wan Junaidi juga menolak tanggapan bahawa undang-undang itu akan melihat Bersatu Sabah sebagai entiti yang berasingan daripada Bersatu.

Pandangannya bagaimanapun berbeza dengan peguam Perlembagaan, Fuad Tengku Ahmad yang berkata, empat Ahli Parlimen itu bertanding sebagai calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS), bukannya calon Perikatan Nasional (PN) atau Bersatu.

“Oleh itu, tiada pelanggaran Perlembagaan kerana empat Ahli Parlimen itu dipilih bawah GRS,” katanya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *