KDN Nafi Tahanan Kimanis Diberi Layanan Buruk

Dalam video tular, seorang lelaki kelihatan lemah mendakwa tahanan tidak diberi makan dan minum yang cukup, manakala permintaan untuk mendapatkan ubat tidak dilayan.

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menafikan dakwaan bahawa tahanan di Depoh Tahanan Imigresen Kimanis diberi layanan buruk.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata media tidak seharusnya memainkan isu tersebut secara berlebihan, dengan mengatakan adalah tidak adil untuk memberikan laporan dari satu pihak sahaja.

“Saya telah dimaklumkan tentang perkara itu tetapi kalau kita nak overplay isu ini tak adil juga, kena tengok subjek terlibat, adakah dia mengamalkan gaya hidup sihat atau terlibat aktiviti tidak sihat yang menyebabkan fizikal menjadi susut dan kecil.

“Tetapi susut itu bukan sebab ditahan, tetapi sudah susut sebelum masuk lagi (ke depoh tahanan), keadaan fizikal dia yang susut dan lemah tidak berpunca daripada momen dia ditempatkan di pusat tahanan,” katanya dalam sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Jabatan Imigresen, pada Jumaat.

Beliau mengulas video dan gambar yang tular sebelum ini, memaparkan individu yang didakwa ditahan di Depoh Imigresen di Kimanis, dalam keadaan kurus dan tidak bermaya.

Video dan gambar itu tular sejak dimuat naik seorang pengguna Facebook.

Dalam video berdurasi 90 saat itu, seorang lelaki yang mendakwa dirinya sebagai Salomon, merayu kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan pengarah Imigresen negeri untuk membebaskan mereka.

Saifuddin juga memaklumkan jabatan itu sentiasa melakukan pemantauan di pusat tahanan dan memastikan sebarang isu ditangani. – AWANI

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *