Keputusan STAR Keluar PN Penting Untuk Kelangsungannya, Kata Penganalisis

Presiden STAR Jeffrey Kitingan sebelum ini mengumumkan bahawa partinya menarik diri daripada PN, yang tidak menyokong kerajaan perpaduan.

KOTA KINABALU: Keputusan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) untuk meninggalkan Perikatan Nasional (PN) perlu untuk kelangsungannya pada masa ini, memandangkan PN bukan lagi kerajaan, kata seorang penganalisis politik.

Bagaimanapun, Syahruddin Awang Ahmad daripada Universiti Malaysia Sabah berkata, keputusan itu boleh dianggap sebagai bersifat oportunis.

Beliau mengulas pengumuman Presiden STAR Jeffrey Kitingan bahawa parti itu akan keluar daripada PN, gabungan yang dibantunya untuk terbentuk dua tahun lepas bersama Bersatu, PAS dan Parti Maju Sabah (SAPP), ketika Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri.

STAR juga menganggotai Gabungan Rakyat Sabah (GRS), yang menyokong kerajaan perpaduan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Kitingan berkata, STAR dan PN tidak lagi sehaluan kerana GRS menyokong Anwar sebagai perdana menteri, manakala PN tidak.

Seorang lagi penganalisis, Tony Paridi Bagang berkata, beliau percaya keputusan STAR meninggalkan PN turut disebabkan pengaruh PAS yang semakin besar setelah memenangi 49 daripada 73 kerusi untuk PN pada pilihan raya umum.

Beliau berkata, pengundi Kadazan Dusun Murut STAR mungkin tidak selesa dengan kedudukan PAS yang semakin kukuh.

“Langkah mengambil haluan berbeza daripada PN, dan PAS khususnya, akan membunuh persepsi bahawa STAR menyokong ideologi parti Islam itu. Ini penting untuk mempersiapkan parti menghadapi pilihan raya negeri akan datang,” katanya.

Bagang berkata, keputusan STAR juga boleh dilihat sebagai sebahagian daripada komitmennya untuk mengukuhkan GRS sebagai blok politik tempatan.

“Dengan meninggalkan PN, STAR boleh secara terbuka mengisytiharkan sokongannya kepada kerajaan perpaduan persekutuan, dan PN tidak akan mempunyai ‘kawalan’ terhadap kenyataan atau keputusan parti,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *