Pasukan Guru Sabah Terima Anugerah Khas Di London

KOTA KINABALU : Projek pendidikan yang dilaksanakan oleh sepasukan guru Bahasa Inggeris dari Kolej Vokasional Keningau telah dipilih sebagai penerima anugerah hakim bagi kesaksamaan, kepelbagaian dan inklusif (Juges’ commendation for equality, diversity & inclusion) di majlis anugerah inovasi Bahasa Inggeris paling berprestij di dunia iaitu ELTons Innovation Awards anjuran British Council di London pada 30 November 2022.

Projek ini yang dikenali sebagai projek ‘Dau-Dau” yang bermaksud dahulukala dalam bahasa Bajau diilhamkan oleh Dr. Sirhajwan Idek, Nurazilah Othman dan Sydney Engelbert Ganggang merupakan projek seni yang menggabungkan seni persembahan, seni penulisan dan seni visual.

Mereka telah mendapat bimbingan Macmillan Education and International House World Organization yang turut diiktiraf dalam penganugerahan ini. Ini merupakan kali pertama Malaysia berjaya tersenarai di peringkat akhir anugerah ini dan seterusnya memenangi anugerah.

Anugerah ini dilaksanakan secara bersemuka dan turut disiarkan secara langsung melalui aplikasi tertentu. Ketiga-tiga guru ini hadir secara dalam talian.

Projek ini membimbing para pelajar untuk menghasilkan hasil karya seni mereka sama ada dalam bidang seni persembahan, seni penulisan, seni visual ataupun gabungan mana-mana bidang seni tersebut.

Ini membolehlahkan pelajar mengasah bakat dan menunjukkan kreativiti mereka. Setakat ini, hampir 160 pelajar telah menghasilkan pelbagai video persembahan termasuklah persembahan boneka, teater pembaca, pantomim, drama radio, monolog dan animasi.

Hasil karya ini telah dipertandingkan dalam festival seni dalam talian dan ramai pelajar ini telah berjaya memenangi anugerah melalui pertandingan sebegini.

Selain itu, beberapa pelajar juga telah menghasilkan karya penulisan seperti puisi, cerpen, esei serta hasil seni lukisan yang telah diterbitkan di majalah-majalah yang berpangkal di Britain.

Projek ini juga memberi alternatif tertentu seperti bahasa isyarat dan animasi kepada pelajar berkeperluan khas agar mereka jua dapat menghasilkan karya tersendiri dan menyertai sebarang pertandingan.

Tema utama projek ini adalah cerita rakyat dan budaya etnik dan tema keduanya adalah isu-isu kontemporari.

Pengarah kolej itu, Johari @ Jaibet Bin Sabin, memuji usaha guru guru ini yang berjaya memperkayakan pengalaman belajar para penuntut institusi itu sambil memberi mereka peluang untuk menunjukkan bakat dan kreativiti mereka.

Projek itu juga mampu membantu memelihara warisan budaya kerana ianya bertemakan cerita rakyat dan budaya etnik.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *