Pampasan RM20,000 Kes Kematian Serangan Buaya Di Sabah

Datuk Jafry Ariffin

KOTA KINABALU: RM20,000 nilai pampasan untuk kes kematian yang disebabkan oleh serangan hidupan liar boleh dipohon daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Persekutuan.

Menteri Pelancongan, Kebudayan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata syarat orang yang membuat tuntutan pampasan adalah warganegara Malaysia sahaja.

Tambahnya, pengesahan berhubung kes terbabit perlu dibuat menerusi Jabatan Hidupan Liar (JHL) terlebih dahulu manakala bagi kecederaan lain nilai pampasan bergantung kepada kehilangan anggota akibat serangan.

“Untuk makluman semua, kes kematian yang diakibatkan oleh serangan hidupan liar boleh memohon pampasan daripada JKM, Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini susulan kes kanak-kanak dibaham buaya di Lahad Datu baru-baru ini.

“Nilai pampasan adalah RM20,000.00 dan Jabatan Hidupan Liar akan membuat pengesahan. Bagi kecederaan lain, nilai pampasan bergantung kepada kehilangan anggota akibat serangan. Syaratnya, orang yang membuat tuntutan pampasan adalah warganegara Malaysia,” tambahnya.

Mengulas mengenai kejadian kes kanak-kanak dibaham buaya, Kementerian Pelancongan, Kebudayan dan Alam Sekitar Sabah menerusi JHL Sabah, telah membuat pemburuan buaya di sekitar kawasan serangan buaya berkenaan.

Jelas Jafry sekiranya penduduk kampung di kawasan perkampungan terbabit sentiasa menggunakan sungai dalam aktiviti harian maka buaya yang dilihat satu kilometer di hulu dan satu kilometer daripada sempadan kampung akan diburu.

“Untuk menjamin keselamatan sepenuhnya mungkin sukar berikutan aktiviti manusia juga mungkin memasuki kawasan buaya yang dahulunya diketahui tiada buaya. Semua buaya yang dilihat berada di kawasan ada aktiviti manusia akan cuba ditangkap atau ditembak mati,” katanya.

Khamis lalu satu video tular mengerikan membabitkan seorang kanak-kanak lelaki hilang selepas disambar buaya dalam kejadian di perairan Markas Operasi Pasukan Gerakan Marin di Lahad Datu.

Dalam kejadian berkenaan, bapa kanak-kanak terbabit parah akibat diserang buaya manakala kanak-kanak terbabit tidak ditemui sehingga kini. – Buletin TV3

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *