KOTA KINABALU: Keahlian Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dalam Perikatan Nasional mungkin tidak lagi relevan akibat ketidaksefahaman berhubung pembentukan kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan, kata Presidennya, Jeffrey Kitingan.
Menjawab soalan wartawan sama ada STAR akan meninggalkan PN, katanya dua parti itu bergerak ke arah bertentangan ketika ini.
“Jika anda bergerak ke arah itu dan saya ke sini…apa maksudnya? Bagi STAR, keahlian kami dalam PN, nampaknya kami tidak lagi relevan kerana perbezaan pendapat.
“Masa akan tentukannya. Jika kami tidak hadir beberapa mesyuarat, maka itu sajalah. (Keahlian) akan hilang secara automatik.”
Tetapi, buat masa ini, katanya, partinya mahu keadaan tenang dulu sebelum mereka merancang tindakan seterusnya.
“Buat masa ini, di mana semuanya kabur, anda tidak boleh nampak keadaan. Biar keadaan tenang dulu.”
STAR sebahagian daripada Gabungan Rakyat Sabah yang turut dianggotai Bersatu, Parti Bersatu Sabah dan Parti Progresif Sabah (SAPP). STAR juga sebahagian daripada PN, bersama Bersatu, SAPP, PAS serta Gerakan. – FMT
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost