Saya Jumpa Anwar Minggu Depan, Shafie Nafi Spekulasi Jadi TPM

Presiden Warisan Shafie Apdal berkata Anwar Ibrahim perlu diberikan masa dan ruang untuk memimpin negara.

KOTA KINABALU: Presiden Warisan, Shafie Apdal menafikan spekulasi beliau akan ditawarkan jawatan kanan dalam kerajaan persekutuan pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

“Saya tak dengar apa-apa. Saya belum jumpa Datuk Seri Anwar. Saya akan jumpa dia minggu depan,” katanya selepas menghadiri mesyuarat belanjawan di Dewan Undangan Negeri.

Shafie menjawab khabar angin tersebar di media sosial negeri itu bahawa beliau akan dilantik sebagai timbalan perdana menteri dalam Jemaah Menteri Anwar.

Shafie berkata, Anwar perlu diberikan masa dan ruang untuk memimpin negara, selain turut menyuarakan keyakinan terhadap pengerusi Pakatan Harapan itu mempunyai pengalaman mencukupi untuk menggalas tugas dan tanggungjawab itu.

Bekas ketua menteri Sabah itu berkata, partinya mempunyai pengalaman dalam kerajaan perpaduan sebelum ini, ketika bersama Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum 2018.

“Kami pernah melaluinya bersama PH sebelum ini, jadi kami sudah mengalaminya. Jadi, tiada masalah untuk kami bekerjasama rapat. Kami orang pertama yang mengisytiharkan sokongan kami kepada Anwar dan Barisan Nasional.

“Kami isytihar lebih awal. Kami hantar akuan berkanun kami. Negara sedang berdepan masalah, ekonomi memerlukan kestabilan. Cukup-cukuplah. Sebab itu kami memutuskan untuk langkah ke depan bagi memastikan kami patut berada di sana, di peringkat kebangsaan juga.”

Mengulas politik Sabah, Shafie menjangkakan konflik akan berlaku disebabkan pendirian berbeza Pengerusi Perikatan Nasional, Muhyiddin Yassin dan Ketua Bersatu Sabah, Hajiji Noor.

Hajiji mengetuai gabungan pemerintah, Gabungan Rakyat Sabah, yang menyokong kerajaan perpaduan Anwar. Tetapi, Muhyiddin yang juga presiden Bersatu berkata, beliau mahu PN menjadi pembangkang untuk memainkan peranan semak dan imbang.

“Saya tidak tahu ia benar atau tidak. Jadi, di peringkat negeri, saya tak tahu pendirian mereka. Tetapi, sudah tentu mereka mengisytiharkan sokongan kepada kerajaan persekutuan. Itu bagus, saya rasa biarkanlah.

“Saya mengalu-alukan sebarang sokongan untuk memastikan kestabilan semua orang, ini yang anda katakan perpaduan. Kami berikrar untuk perpaduan selama bertahun-tahun.”

GRS terdiri daripada Bersatu, STAR, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Progresif Sabah (SAPP) dan Usno. Tetapi, Bersatu bersama SAPP dan STAR sebahagian daripada PN yang diterajui Muhyiddin.

Pada pilihan raya umum ke-15, semua parti itu bertanding atas tiket GRS. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *