Ahli Parlimen Bebas Dari Kudat Sahkan Sokong Kerajaan Perpaduan

Ahli Parlimen Kudat Verdon Bahanda mengesahkan sokongannya kepada kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Kudat Verdon Bahanda yang merupakan Ahli Parlimen bebas, hari ini, mengesahkan sokongan beliau kepada kerajaan perpaduan yang diterajui Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Verdon berkata, beliau menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah yang berkenan melantik Anwar sebagai Perdana Menteri Ke-10.

“Terima kasih tidak terhingga kepada masyarakat di Parlimen Kudat yang memberi kepercayaan kepada saya untuk menerajui Parlimen Kudat pada PRU15 (pilihan raya umum ke-15) dan seperti saya janjikan dalam jelajah kempen saya, Parlimen Kudat tetap akan menjadi kawasan menyokong kerajaan.

“Ia adalah demi untuk kepentingan kawasan Parlimen kita agar kita tidak ketinggalan dalam arus pembangunan serta menjadikan Parlimen Kudat hebat semula setanding dengan kawasan yang lain,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Katanya, beliau telah menemui Anwar di Putrajaya, semalam, bersama Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Malaysia (PKDM) Peter Anthony, Timbalan Presiden KDM Wetrom Bahanda yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu dan Ahli Parlimen Tenom Riduan Rubin yang juga Ahli Parlimen bebas.

Khamis lalu, Peter dilaporkan berkata, PKDM akur dengan titah baginda agar kerajaan perpaduan diwujudkan demi kestabilan negara serta kesejahteraan rakyat Malaysia.

Penamaan calon PRU15 pada 5 Nov menyaksikan Riduan mencalonkan diri bertanding di Parlimen Tenom sebagai calon bebas, namun pada 11 Nov, Peter mengesahkan penyertaan Riduan ke dalam partinya sambil menjelaskan Riduan kekal bertanding sebagai calon bebas, namun dibantu jentera parti itu.

Semalam, pada sidang medianya, Anwar berkata kerajaan perpaduan pimpinannya sudah mencapai sokongan dua pertiga susulan keputusan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersetuju menyertai pentadbirannya.

Beliau berkata, kedudukan kerajaan perpaduan kukuh selepas Pengerusi GRS Hajiji Noor secara rasmi bersetuju menyertai kerajaan.

Minimum 148 kerusi diperlukan bagi mendapat dua pertiga. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *