Hubungan BN-GRS Masih Baik, Tiada Perpecahan, Kata Bung

Bung Moktar Radin sebelum ini mengkritik GRS menyokong Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri ke-10 yang disifatkannya seolah-olah mengisytiharkan perang terhadap BN Sabah kerana melanggar perjanjian kerjasama PRU15.

KOTA KINABALU: Hubungan Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) masih baik, selepas Bung Moktar Radin mendakwa GRS “mengisytihar perang” terhadap mereka.

Pengerusi BN negeri itu mengakui beliau sedikit emosi ketika membuat dakwaan itu, tetapi menganggapnya lumrah politik.

“Politik memang macam itu, kadang-kadang kita kena menghadapi sesuatu, emosi sikit (ketika mengeluarkan dakwaan GRS isytihar terhadap BN).

“Bagaimanapun, semuanya berjalan baik (hubungan BN-GRS), kita dalam Umno, BN sentiasa berjiwa besar,” katanya selepas pembentangan Bajet 2023 Sabah di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini.

Isnin lalu, Bung mengkritik tindakan Pengerusi GRS, Hajiji Noor menyokong Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri ke-10 yang disifatkannya seolah-olah mengisytiharkan perang terhadap BN Sabah kerana melanggar perjanjian kerjasama untuk pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Hajiji kemudian menjelaskan perjanjian antara GRS dan BN tidak sah lagi memandangkan BN kalah dalam PRU15.

Beliau bagaimanapun berharap BN Sabah sudi meneruskan kerjasama dengan GRS untuk mentadbir Sabah dalam mengekalkan momentum pentadbiran yang diterajui bersama.

Terdahulu, Anwar hari ini mengesahkan GRS sebahagian daripada kerajaan perpaduan yang diterajuinya.

Bung mengalu-alukan penyertaan GRS dalam kerajaan perpaduan.

“Namanya pun (kerajaan) perpaduan, jadi semua boleh menyertainya. Jadi, saya mengalu-alukan mana-mana parti yang mahu menyertai kerajaan perpaduan ini,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *