Menang Kerusi Tenom, Calon Bebas Riduan Rubin Lakar Kejutan

Calon bebas Riduan Rubin memperoleh 10,027 undi di kerusi Parlimen Tenom.

KUALA LUMPUR: Dengan majoriti 1,108 undi, calon Bebas Riduan Rubin melakar kejutan apabila memenangi kerusi Parlimen Tenom di Sabah pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Beliau memperoleh 10,027 undi untuk mengalahkan Noorita Sual (Pakatan Harapan) yang meraih 8,919 undi, Jamawi Ja’afar (Barisan Nasional) dengan 8,625 undi, calon Warisan Ukim Buandi (992) dan calon bebas Peggy Chaw Zhi Ting (86), lapor Bernama.

PRU15 turut menyaksikan barisan calon yang bertanding buat julung kalinya mencatat kejayaan seperti Mejar Jeneral (B) Khlir Mohd Nor (Perikatan Nasional), Adam Adli Abd Halim (PH), Rodiyah Sapiee (Gabungan Parti Sarawak), Kalam Salan (PN) dan Lim Hui Ying (PH).

Khlir berjaya merampas kerusi Parlimen Ketereh daripada BN apabila mendapat 40,542 undi, mengalahkan saingan terdekatnya, Ketua Pergerakan Puteri Umno Kelantan Marzuani Ardila Ariffin (BN) dengan majoriti 23,107 undi.

Adam, yang juga ketua Pemuda PKR, memperoleh 39,418 undi di kerusi Parlimen Hang Tuah Jaya, Melaka dalam persaingan empat penjuru melibatkan Mohd Ridhwan Ali (BN), Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh (Pejuang) dan Mohd Azrudin Md Idris (PN), dengan majoriti 8,638 undi.

Rodiyah pula memperoleh 18,668 undi di Parlimen Batang Sadong, Sarawak untuk menewaskan Lahaji Lahiya (PH) dengan majoriti 14,893 undi.

Di Selangor, Kalam menang dengan majoriti 5,056 undi apabila memperoleh 17,973 undi di Parlimen Sabak Bernam untuk menewaskan tiga calon lain, iaitu Abd Rahman Bakri (BN) yang mendapat 12,917 undi, Shamsul Ma`Arif Ismail (PH) dan Idris Md Yusof (Pejuang).

Lim, adik Pengerusi DAP Lim Guan Eng, pula menang di Parlimen Tanjong, Pulau Pinang selepas menewaskan dua lagi calon dengan majoriti 28,754 undi. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *