BN Kalah Teruk Pada PRU15, MB Johor Gesa Zahid Letak Jawatan

Onn Hafiz Ghazi berkata, tindakan Ahmad Zahid Hamid meletak jawatan sebagai presiden akan membantu Umno mengambil langkah pertama untuk memulihkan dan menguatkan kembali parti.

KUALA LUMPUR : Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi digesa segera meletakkan jawatan susulan kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi berkata, Zahid perlu “berjiwa besar” meletakkan jawatan utama dalam parti itu, sebagaimana dilakukan Najib Razak pada 2018.

Tindakan itu, katanya, akan membantu Umno mengambil langkah pertama untuk memulihkan dan menguatkan kembali parti.

“Kita semua sedia maklum bahawa satu tsunami politik orang Melayu telah berlaku, di mana orang Melayu menolak Umno.

“Umno telah rebah. Umno dan BN hanya menang sembilan kerusi Parlimen di Johor sementara itu, kita tidak memenangi satupun kerusi Parlimen di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka, Kelantan mahupun Terengganu,” katanya dalam kenyataan.

Sembilan kerusi yang dimenangi BN di Johor pada PRU15 terdiri daripada Parit Sulong, Ayer Hitam, Simpang Renggam, Tenggara, Kota Tinggi, Pengerang, Pontian, Tanjung Piai dan Sembrong.

Dalam pada itu, Onn yang juga pengarah operasi pilihan raya BN Johor berkata, pimpinan Umno perlu kembali mendengar suara rakyat yang telah diterjemahkan melalui undi pada PRU15, meskipun ia cukup pahit untuk ditelan.

“Ramai pemimpin Umno, MCA dan MIC yang berkaliber dan berpotensi terkorban kerana kita tidak mahu mendengar denyut nadi akar umbi.

“Kita semua perlu berani membuat perubahan ke arah kebaikan demi masa depan parti ini,” katanya.

Usaha untuk memulihkan dan memperbaiki parti ini perlu bermula sekarang, tegasnya.

“Jika kita tidak berubah sekarang, kita tidak akan memenangi satu kerusi pun pada masa akan datang.” – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *