Bugaya: Pertarungan Lebih Kepada Warisan Menentang BN Di Empat Penjuru

Calon Parti Warisan (Warisan) Jamil Hamzah bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) N66 Bugaya sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Sabah.

SEMPORNA, 18 Nov : Setelah mengharungi kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya sejak penamaan calon pada 5 Nov lepas, ‘kabut perang’ mula hilang memperlihat jelas pertarungan politik sebenar yang berlaku di kawasan itu.

Penganalisis politik melihat PRK DUN Bugaya pada zahirnya ia saingan enam penjuru, namun sebenarnya ia lebih kepada pertarungan satu lawan satu antara calon Parti Warisan (Warisan) Jamil Hamzah yang mempertahankan kerusi itu, dengan Barisan Nasional (BN) Abd Aziz Mohd Ibno, menjelang pengundian esok.

Pilihan Raya Negeri Sabah pada 2020 menyaksikan kerusi DUN Bugaya dimenangi Datin Manis Muka Mohd Darah mewakili Warisan dengan majoriti 6,005 undi, namun meninggal dunia pada 17 Nov 2020 akibat komplikasi buah pinggang dan selepas itu PRK itu tertangguh ekoran proklamasi darurat mencegah penularan COVID-19.

Penganalis politik juga Felo Penyelidik Kanan Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Zaini Othman berkata BN dan Warisan dilihat sebagai ‘pesaing kuat’ berbanding calon lain dalam PRK DUN Bugaya.

“Dua parti ini saya nampak adalah pesaing utama, iaitu calon Warisan ini kerana Semporna kubu kuat Warisan, manakala calon BN merupakan orang tempatan Semporna, selain strategi yang dibawa kedua-dua parti serta banyak mendekati pengundi,” katanya kepada Bernama.

Zaini berkata secara umum soal pembangunan serta isu bersifat ‘setempat’ atau  ‘ke-Bugaya-an’ antara yang menjadi buah perbincangan dalam kalangan pengundi DUN Bugaya yang menjadi pertimbangan undi.

“Sekiranya calon Warisan diundi, adakah parti ini boleh membawa pembangunan?, kerana Warisan masa kini bukan kerajaan, kalau sokong Warisan mampukah calonnya menterjemahkan aspirasi pengundi?…selain kononnya calon Warisan ini walaupun keluarga daripada Semporna namun tidak membesar di Semporna.

“Bagi calon BN pula, dia adalah calon daripada kerajaan yang sedang mentadbir negeri, namun persoalannya mampukah calon ini membawa hasrat para pengundi Bugaya kerana dikatakan calon BN bukan anak Bugaya?,  jadi timbul isu dia orang Semporna tetapi bukan orang Bugaya,” katanya.

“Pada masa sama, calon BN pula dikatakan mendapat sokongan para pengikut penyandang sebelum ini (Manis Muka) soal penaung dan orang dinaung dalam konteks masyarakat atau para pengundi di Semporna ini sangat kuat,” katanya.

Mengenai peluang parti yang memenangi kerusi DUN Bugaya, Zaini berkata Warisan dan BN masing-masing memiliki peluang yang tersendiri antaranya berdasarkan isu di kawasan itu.

“Peluang Warisan itu ada, tetapi mereka tidak boleh bersikap sambil lewa atau mengambil mudah, jika mereka ambil mudah isu yang disebutkan saya, dan jika jentera mereka tidak jelaskan (kepada pengundi) boleh beri impak besar kepada peluang parti Warisan dalam saingan kepada BN.

“BN juga ada peluang tapi jentera perlu diperkemaskan,” katanya menambah jika BN menang di DUN Bugaya, itu akan memberi perspektif atau persepsi bahawa Semporna bukan lagi kubu kuat Warisan manakala sekiranya Warisan kalah di PRK itu, merupakan tamparan kepada keutuhan dominasi Warisan di daerah ini.

Sementara itu penganalisis politik yang juga Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah Dr Romzi Ationg berkata Warisan masih memiliki peluang untuk mempertahankan kerusi DUN Bugaya tetapi BN juga tidak boleh dianggap mudah dan ia bergantung kepada keupayaan calon menarik undi.

Selain dua calon itu, empat lagi calon bertanding di PRK DUN Bugaya ialah Arastam Pandorog (Pakatan Harapan), Nazmawati Walli (Pejuang), Karil Pg Kuraini (Parti Perpaduan Rakyat Sabah) serta calon Bebas Jufazli Shi Ahmad, bagi meraih sokongan 32,251 pengundi kerusi DUN itu. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *