Ronald Pengkhianat Sebenar, Kita Perlu ‘Hukum’ Dia, Pesan Bung Moktar

Bung Moktar Radin diringi calon BN di Beluran, Benedict Asmat (dua dari kanan) pada siri jelajah parti itu di Beluran, semalam.

BELURAN: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Bung Moktar Radin menyifatkan calon Perikatan Nasional (PN) di Beluran, Ronald Kiandee adalah pengkhianat sebenar kerana membelakangi kerjasama antara BN dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Katanya, mengundi Ronald pada pilihan raya umum ke-15 (PRU) ini adalah ‘haram’ kerana naib presiden Bersatu itu telah lupa diri dan perlu ‘diajar’.

“Hari ini beliau kata kita pengkhianat, tapi beliaulah pengkhianat sebenarnya, pengkhianat rakyat Beluran, orang macam ini mesti dihukum, hukum jangan undi Ronald.

“Mengundi Ronald haram bagi kita, wajib undi nombor satu (calon BN), ini cara untuk ajar pemimpin lupa diri,” katanya pada siri jelajahnya di Beluran, semalam.

Bung berkata, Ronald sebelum ini didakwa telah gagal membawa perubahan yang signifikan selepas lima penggal menjadi wakil rakyar di kawasan itu.

Sehubungan itu, katanya, sudah sampai masanya rakyat memilih pemimpin baharu untuk membawa pembangunan yang lebih baik di daerah berkenaan.

Beliau berkata, calon BN bagi kerusi Parlimen Beluran, Benedict Asmat adalah pilihan terbaik untuk menggantikan Ronald bagi menggalas usaha membangunkan Beluran.

“Malangnya, di Beluran ini, Ronald tidak menerima hakikat, jadi beliau lawan arus, orang lawan arus ini daripada sejuta, hanya seorang yang selamat.

“Dulu BN yang menangkan Ronald di Beluran ini, selama lima penggal atau 25 tahun, kita angkat dia di Beluran tapi apa buat, orang sini pun cakap tiada apa-apa yang ketara dia bawa untuk rakyat,” katanya.

Sementara itu, Bung yang juga calon BN Parlimen Kinabatangan berkata, mana-mana pemimpin dalam GRS dan BN yang melawan arus kerana menyokong calon parti lain perlu disingkirkan.

Katanya, ia termasuk ketua kampung, jawatankuasa pembangunan dan keselamatan kampung (JPKK) dan penjawat kerajaan yang secara jelas menyokong calon lawan selain BN dan GRS.

“Saya akan jumpa Ketua Menteri Hajiji Noor mengenai perkara ini, siapa yang tidak sokong calon kerajaan akan diambil tindakan sebab saya dan Hajiji sudah mengisytiharkan 25 calon GRS dan BN adalah calon kerajaan negeri,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *