Mengapa Shafie Takut Sangat Dengan Dr M, Soal Calon PH

Ewon Benedick mendakwa Presiden Warisan Shafie Apdal gagal melakukan yang terbaik bagi Sabah ketika menjadi ketua menteri.

KOTA KINABALU: Bekas menteri Sabah, Ewon Benedick, mempersoalkan mengapa Presiden Warisan Shafie Apdal menangguh pelaksanaan dua isu penting sementara menunggu perbincangan dengan Dr Mahathir Mohamad.

“Saya tidak tahu mengapa beliau takut sangat dengan Mahathir,” katanya pada ceramah ketika berkempen bagi kawasan Parlimen Penampang.

Benedick yang juga calon Pakatan Harapan (PH) bagi Penampang, berkata beliau tidak pernah mendengar mana-mana pemimpin PH Sabah menentang tuntutan hak Sabah berhubung perkongsian hasil cukai seperti didakwa Shafie.

“Apa yang saya dengar adalah Shafie yang ketika itu menjadi ketua menteri berkata beliau mahu berbincang mengenai perkara itu dengan perdana menteri ketika itu sebelum membuat keputusan.

“Ini berlaku selepas Sarawak menyaman kerajaan persekutuan bagi hak mengenakan cukai jualan 5% ke atas produk petroleum. Sarawak ada menjemput Shafie turut serta bersama dalam tuntutan mahkamah itu, namun beliau menolak,” katanya.

Perkara sama berlaku pada 2019 selepas enakmen mengenakan cukai jualan 5% ke atas produk petroleum diluluskan di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Katanya, beliau ada bertanya kepada Shafie mengenai enakmen itu yang tidak dikuatkuasakan serta merta selepas ia diluluskan dan dimaklumkan Shafie bahawa perkara itu akan dibincangkan dengan Mahathir terlebih dulu sebelum membuat keputusan.

“Beliau terus menangguhkannya sehingga Mahathir meletakkan jawatan pada 2020. Hanya selepas itu, beliau mengambil keputusan menguatkuasakan enakmen berkenaan. Saya tidak tahu mengapa beliau takut sangat dengan Mahathir,” katanya.

Benedick berkata, beliau terkejut apabila Shafie memilih untuk menyerang dan memfitnah bekas menteri kabinetnya sendiri berhubung isu terbabit.

Katanya, Warisan ketika itu memegang tiga kedudukan menteri penuh dalam Kabinet persekutuan dan sepatutnya mampu melakukan lebih banyak. Shafie juga merupakan ahli dalam pelbagai jawatankuasa dan majlis tertinggi di peringkat nasional, sambil menyatakan beliau lebih mudah berjuang menuntut hak Sabah, berbanding meletakkan kesalahan pada pimpinan PH.

Setiausaha DAP Sabah Ginger Phoong yang juga bekas menteri Sabah dan pernah menganggotai Kabinet Shafie, mendakwa bekas ketua menteri itu melakukan serangan murahan terhadap bekas sekutunya.

“Beliau pernah menjadi pemimpin kerajaan Sabah dan sekarang meletakkan kesalahan kepada mereka. Bagaimana beliau sanggup bertindak seperti itu,” katanya.

Terdahulu, Shafie mendakwa, kerajaan negeri pimpinannya sebelum ini boleh melakukan lebih baik dalam menuntut hak Sabah bagi perkongsian hasil cukai, namun PH enggan menyokong langkah itu. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *