PRU15: Ronald Kiandee Digugurkan, Calon Kalabakan Ditukar

Andi Muhammad Suryady Bandy dan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee

KOTA KINABALU : Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee digugurkan daripada senarai calon manakala bekas Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Benedick Asmat dinamakan sebagai calon bagi Parlimen Beluran.

Keputusan itu sekali gus menjawab persoalan nasib Menteri Pertanian dan Industri Makanan yang juga penyandang kerusi Parlimen itu selepas nama beliau dan kerusi yang disandangnya tidak diumum pada majlis pengumuman senarai calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-BN yang diadakan Rabu lalu.

Selain itu, calon bagi kerusi Parlimen Kalabakan juga ditukar apabila calon yang telah diumumkan sebelum ini, Aslam Fadli Samsul Alang digantikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu, Andi Muhammad Suryady Bandy.

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, BN Sabah telah memutuskan kawasan Parlimen Beluran dan Kalabakan akan ditandingi oleh calon-calon BN.

“Benedict Asmat adalah anak jati Parlimen Beluran dan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam Antropologi dan Sosiologi (Kepujian) dari Universiti Malaya (UM).

“Beliau merupakan mantan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan dan pernah berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Daerah Beluran selama 20 tahun sebelum dilantik menjawat beberapa jawatan penting kerajaan seperti pegawai daerah Semporna, Timbalan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Sabah dan Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya Sabah.

“Selain itu, turut berpengalaman luas dalam sektor perkhidmatan awam dan beliau juga bergiat aktif dalam beberapa pertubuhan bukan kerajaan dan kini merupakan Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sabah (Safa),” katanya dalam kenyataan pada malam Khamis.

Bung Moktar turut berkata, bagi calon Parlimen Kalabakan pula, Andi Muhammad Suryady merupakan Pembantu Menteri Belia dan Sukan dalam kabinet Sabah pada Oktober 2020.

“Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan pernah bertugas sebagai jurutera di beberapa syarikat kejuruteraan terkemuka negara sebelum berkecimpung dalam dunia perniagaan selain pernah dilantik sebagai Bendahari Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia Sabah.

“BN Sabah memutuskan untuk menamakan calon baharu Parlimen Kalabakan disebabkan masalah teknikal,” katanya.

Sehubungan itu, Bung Moktar yakin kedua-dua calon yang berlatarkan pendidikan tinggi, berkelayakan profesional serta bersedia berkhidmat mampu menggalas amanah mewakili kepentingan rakyat apabila dipilih kelak. – SINAR

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *