PRU15: BN Akan Tanding Di Parlimen Beluran, Kata Bung Moktar

Bung Moktar Radin berkata, Benedict Asmat menjadi taruhan gabungan itu di kerusi yang disandang Naib Presiden Bersatu Ronald Kiandee sejak lima penggal lalu.

KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) akan bertanding di kerusi Parlimen Beluran pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dengan meletakkan bekas presiden Majlis Perbandaran Sandakan Benedict Asmat sebagai calon.

Ini bermakna BN Sabah dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) masing-masing bertanding di 12 dan 13 kerusi Parlimen keseluruhan.

Kerusi Parlimen Beluran disandang Naib Presiden Bersatu Ronald Kiandee, yang juga bekas menteri pertanian dan industri makanan, sejak lima penggal lalu.

Pengerusi BN Sabah Bung Moktar Radin dalam kenyataan malam tadi turut mengumumkan calon baharu bagi kerusi Parlimen Kalabakan iaitu Pembantu Menteri Belia dan Sukan negeri Andi Muhammad Suryady Bandy yang juga ADUN Tanjung Batu.

Sebelum menamakan Andi sebagai calon malam tadi, Bung Moktar pada Rabu menamakan Ketua Pemuda Umno Kalabakan Aslan Fadli Samsul Alang sebagai calon di kerusi tersebut.

“BN Sabah yakin kedua-dua calon berlatarkan pendidikan tinggi, berkelayakan profesional serta bersedia berkhidmat mampu menggalas amanah mewakili kepentingan rakyat apabila dipilih kelak,” katanya.

Benedict, anak jati Beluran, berkelulusan sarjana muda sastera dalam antropologi dan sosiologi daripada Universiti Malaya dan pernah memegang jawatan penting antaranya penolong pegawai daerah Beluran pada 1991-2010. Beliau juga kini naib presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sabah.

Andi pula anak jati Kalabakan, berkelulusan sarjana muda kejuruteraan awam daripada Universiti Teknologi Malaysia dan pernah bertugas sebagai jurutera di beberapa syarikat kejuruteraan terkemuka negara sebelum berkecimpung dalam dunia perniagaan. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *