Anifah Lawan Alamin Di Kimanis?

Parti Cinta Sabah (PCS) dipimpin bekas menteri luar, Anifah Aman memberi bayangan akan meletakkan calon berdepan Mohamad Alamin daripada Barisan Nasional (BN).

KOTA KINABALU : Parti Cinta Sabah (PCS) mungkin meletakkan calon di Parlimen Kimanis pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) biarpun presidennya yang juga bekas menteri luar, Anifah Aman sebelum ini menyatakan sokongan terhadap calon Barisan Nasional (BN).

Berdasarkan kenyataan terbaharu parti, Timbalan Presidennya, Ansari Abdullah memberi bayangan PCS hampir pasti bertanding di kerusi itu nanti.

Bagaimanapun, beliau tidak menyebut siapa calon yang akan bertanding, sama ada Anifah sendiri yang pernah menyandang kerusi itu sejak 2004 hingga 2019 atau calon lain.

Menurutnya, langkah itu mengambil kira apa yang pernah dijanjikan di hadapan rakyat Kimanis pada PRU14 (2018) dan pilihan raya negeri ke-16 (PRN) 2020.

Beliau mendakwa rakyat Sabah sudah berulang kali dijanjikan pengembalian semula hak 100% seperti termaktub dalam Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1962 dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) namun apabila berkuasa perkara itu tidak pernah berlaku.

“Pelbagai pihak berjanji manis di hadapan rakyat Kimanis pada PRU14 dan PRN 2020 tetapi yang dijanjikan tidak pernah dilaksanakan.

“Oleh itu, atas desakan serta permintaan rakyat Sabah khususnya di Kimanis, saya boleh jamin bahawa PCS hampir pasti bertanding di Parlimen Kimanis pada PRU15 ini,” katanya menurut Berita Harian.

Selain itu katanya, PCS bukan mahu merebut jawatan atau ganjaran kerana lebih penting bagi parti itu ialah untuk mendapatkan hak rakyat Sabah seperti termaktub secara keseluruhannya dalam MA63 dan Laporan IGC 1962.

Katanya, parti itu menerima tawaran daripada pelbagai pihak namun hanya bersedia bekerjasama dengan mana-mana parti atau individu yang boleh membantu mencapai matlamat PCS dan bukan hanya berjanji kosong.

“Anak Sabah masih bergelut mencari pekerjaan dan rezeki di bumi sendiri, seolah-olah pendatang di negeri dan negara sendiri. Mungkin sudah tiba masanya rakyat Sabah berubah arah ke pakatan baharu demi kepentingan dan hak rakyat Sabah,” katanya.

Pada Program Gelombang Biru BN di Kimanis baru-baru ini, penyandang kerusi Parlimen Kimanis Mohamad Alamin yang dinamakan semula sebagai calon BN berkata Anifah ada memaklumkan menyokongnya bertanding di kerusi berkenaan.

Namun, perkembangan terbaru daripada PCS itu dijangka menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Mohamad (BN), Daud Yusof (Warisan), Rowindy Lawrence (PH-UPKO) dan calon PCS. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *