PH Terbuka Kerjasama Bentuk Kerajaan Dengan Gabungan Sabah, Sarawak

Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli berkata idea bergabung dengan parti dari Sabah dan Sarawak bagaimanapun hanya akan dilihat selepas keputusan PRU15.

KUALA LUMPUR : Pakatan Harapan (PH) terbuka bekerjasama dengan gabungan parti dari Sabah atau Sarawak untuk membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum (PRU15), kata Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli.

Bagaimanapun, katanya idea bergabung dengan parti dari Sabah dan Sarawak hanya akan dilihat selepas keputusan PRU15.

Dalam temubual dengan Utusan Malaysia, beliau turut menegaskan PH menutup pintu kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) walaupun gagal mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan pusat selepas PRU15.

“Maksudnya apabila ada gabungan melibatkan sama ada Sabah atau Sarawak, kerajaan gabungan yang mahu dibentuk itu kenalah kerajaan yang stabil dengan mengambil kira kepentingan Semenanjung dan Sabah serta Sarawak. Saya yakin itu juga akan dipertimbangkan oleh gabungan parti di Sabah dan Sarawak.

“Contohnya PH dapat 100 kerusi dan apabila dipersetujui akhirnya untuk membentuk kerajaan antara PH dengan salah satu gabungan parti dari Sabah atau Sarawak, kerajaan itu mungkin memperoleh majoriti 125 kerusi.

“Kalau PH dapat 100 kerusi tambah lagi 25 kerusi, kita jadi kerajaan kuat, maka tidak timbul soal kerajaan jatuh atau bertukar seperti sebelum ini dan PH boleh beri fokus kepada perancangan lima tahun untuk membangunkan negara.

“Kalau PH tak menang katakan dapat hanya 70 atau 80 kerusi manakala BN dapat 90 kerusi maka sudah tentu kerajaan stabil adalah BN dengan ditambah gabungan Sarawak dan Sabah. Jadi saya tak nampak itu sebagai satu masalah,” katanya.

Namun, Rafizi berkata, sekiranya salah satu gabungan parti politik Sabah atau Sarawak menolak PH yang menang lebih banyak kerusi seterusnya memilih untuk bekerjasama dengan BN atau PN, kerajaan yang bakal ditubuhkan itu akan menjadi lemah.

“Ambil BN sedikit, ambil PN sedikit mungkin jadi kerajaan 112 kerusi atau 115 kerusi. Jadi hendak mentadbir itu sebenarnya boleh, sebab gabungan Sabah dan Sarawak ada sejarah lebih lama dengan tokoh-tokoh BN mahupun PN.

“Namun mereka harus fikir panjang dan payah kalau kerajaan ada 115 kerusi nanti undang-undang tidak lepas, bajet ada masalah dan berebut sesama sendiri.

“Jadi sahabat pimpinan parti politik Sabah atau Sarawak kena ada kesedaran iaitu kita tidak boleh dalam tempoh lima tahun lagi ada kerajaan sekejap macam ini, sekejap berkecamuk,” katanya.

Selain itu, beliau turut mengingatkan semua pimpinan PKR dan parti komponen PH tidak berunding atau “bincang belakang” untuk bergabung kerana ini bukan masanya untuk berbuat demikian.

“Ini masanya untuk kita betul-betul mendapat sokongan terbaik masing-masing dalam tempoh tiga minggu kempen PRU15. Bergabung hanya dengan parti-parti gabungan dari Sabah dan Sarawak tetapi tidak bersama PN atau BN,” tegasnya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *