KENINGAU : Beberapa kawasan di Keningau, Sabah dipercayai telah dilanda banjir selepas hujan lebat berterusan yang melanda sejak semalam.
Malah, tular himpunan gambar dan video di media sosial yang menyaksikan keadaan air deras di sana.
Difahamkan, hujan lebat berterusan itu menyebabkan beberapa kawasan jalan raya dan kediaman dilimpahi air banjir serta kejadian tanah runtuh turut dilaporkan berlaku.
Kejadian tersebut dipercayai berpunca daripada hujan lebat berterusan sejak pukul 4.00 petang dan air dikatakan mula memasuki kawasan kediaman dan premis-premis pada pukul 5.00 petang semalam.
Menurut Angkatan Pertahanan Malaysia (APM), Pusat Kawalan Operasi Daerah Keningau mula menerima aduan pada pukul 6.05 petang, memaklumkan berlaku kepala air banjir kilat di Kampung Senagang, Ulu Keningau.
Setelah menerima panggilan tersebut, pihak mereka terus bergegas ke lokasi kejadian.
Manakala, seorang pengguna Facebook mendakwa banyak kawasan yang ditimpa bencana banjir dan tanah runtuh disebabkan hujan lebat yang berterusan.
Selain itu, dia juga meminta penduduk yang tinggal di kawasan rendah yang berdekatan dengan sungai untuk berhati-hati kerana paras air dijangka akan terus meningkat di beberapa kawasan.
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost