PRU15: Bekas Pemimpin MCA, PKR Dan UMNO Antara Calon Warisan Di Semenanjung

Shafie Apdal berkata Warisan akan meletakkan tokoh dan bekas pemimpin Umno, PKR dan MCA mewakili parti itu untuk bertanding di Semenanjung.

TENOM: Seorang bekas presiden MCA merupakan antara calon Warisan yang akan mewakili parti itu bertanding di Semenanjung pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Presiden Warisan Shafie Apdal berkata selain itu, ada lagi bekas pemimpin dan ahli parti utama seperti MCA, PKR dan Umno yang akan bertanding mewakili parti itu pada PRU15 di Semenanjung.

“Saya umumkan calon Warisan di Semenanjung ialah bekas presiden MCA. Saya umumkan calon di Perlis ialah bekas (ahli/pemimpin) Umno, saya akan umumkan calon di Wangsa Maju (ialah) bekas (ahli/pemimpin) PKR. Semua boleh bergabung di bawah Warisan,” katanya ketika melancarkan jentera pilihan raya parti itu bagi Parlimen Tenom di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak menamakan bekas presiden MCA itu.-ADVERTISEMENT-Ads by 

Bagaimanapun, awal hari ini bekas presiden MCA Ong Tee Keat dilaporkan mengumumkan menyertai Warisan.

Pada 13 Okt lepas, Shafie dilapor berkata Warisan akan bertanding di semua 25 kerusi Parlimen di Sabah serta satu di Labuan selain mengenal pasti beberapa kerusi di Johor, Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Selangor dan Perak yang berpotensi untuk ditandingi.

Di Keningau, ketika bercakap kepada pemberita selepas melancarkan jentera pilihan raya Warisan bagi Parlimen Keningau serta Pensiangan, Shafie berkata beliau akan mengumumkan calon parti itu pada 1 Nov bagi Semenanjung dan 3 Nov untuk Sabah.

“Saya akan ke Semenanjung umum calon (Warisan) pada 1 Nov, di Sabah pada 3 Nov,” katanya.

Beliau berkata semua parti yang bertanding pada PRU15 terutama di Sabah perlu menyuarakan isu rakyat sebagai yang utama dan bukan hanya sekadar berjanji memberikan ‘gula-gula’ pilihan raya.

“Apa yang penting kita suarakan sebelum ini seperti MA63 (Perjanjian Malaysia 1963), membangun umat, rakyat Malaysia mahukan kehidupan, pekerjaan, (turun) harga barang, juga sekolah dan hospital yang baik,” katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *