Jeffrey Cadang ‘Pertandingan Mesra’ GRS Dengan BN Di Pensiangan

Jeffrey Kitingan disambut penyokong GRS pada majlis pelancaran jentera pilihan raya gabungan itu di Pensiangan, hari ini.

KOTA KINABALU : Presiden STAR Jeffrey Kitingan mencadangkan supaya Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bertanding di Pensiangan walaupun ia kini disandang Arthur Joseph Kurup daripada Barisan Nasional (BN) yang dijangka mempertahankan kerusi Parlimen itu pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Katanya, cadangan untuk “pertandingan mesra” dengan calon BN daripada Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) itu selaras dengan kehendak akar umbi GRS dan STAR.

GRS dan BN yang kini menerajui kerajaan negeri sebelum ini bersetuju bekerjasama pada PRU15 nanti.

“Realitinya ialah kami mewarisi jenama politik dari masa lalu, namun kita mesti ingat bahawa politik di Sabah tidak sama seperti politik di Malaya.-ADVERTISEMENT-Ads by 

“Kita inginkan jenama politik kita sendiri, kita tidak lagi mahu ada tali terikat di hidung seperti kerbau dan ditarik…Kita mahu jadi seperti Sarawak kerana kita adalah rakan kongsi Malaya tapi bukan di bawah mereka.

“Jadi untuk bergerak ke arah percubaan mencapai visi itu, pemimpin Sabah mesti menyelaraskan perjuangan mereka dengan GRS.

“Sehubungan itu, saya mencadangkan kerusi Parlimen Pensiangan dipertimbang diberikan kepada GRS untuk pertandingan mesra kerana PBRS bukan sebahagian daripada kerajaan Sabah,” katanya dalam kenyataan sempena pelancaran jentera pilihan raya GRS di Pensiangan, hari ini.

Pada PRU14, Arthur yang juga timbalan menteri kerja raya memenangi kerusi Parlimen Pensiangan selepas meraih 11,783 undi seterusnya menewaskan empat pencabar lain dengan majoriti 2,314 undi.

Calon STAR ketika itu, Richard Joe Jimmy hanya memperoleh 2,839 undi dan hilang wang deposit manakala pencabar terdekat Arthur iaitu Raymond Ahuar daripada PKR memperoleh 9,469 undi.

Sementara itu, Jeffrey yang juga timbalan ketua menteri berkata, Sabah kini bergerak ke hadapan untuk menamatkan situasi “seperti kerbau dicucuk hidung” oleh kuasa yang ada selama berdekad lalu.

Katanya, keadaan kini sudah mula berubah sejajar komitmen pemimpin dalam GRS yang konsisten memperjuangkan hak Sabah.

“Politik kita hari ini sudah berubah, dulu, kita tidak boleh bercakap mengenai hak-hak kita kerana risiko diburu Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

“Sekarang Malaya mengejar kita dan menawarkan jawatan timbalan perdana menteri,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *